KUALA SELANGOR, 11 JULAI: Lebih 10,000 peluang pekerjaan termasuk jawatan profesional bergaji sehingga RM5,000 ditawarkan menerusi Karnival Jelajah JobCare Selangor sejak April lalu.
Pengurus Kes Sistem Insurans Pekerjaan, Aaron Davidraj berkata siri jelajah di Kuala Selangor hari ini menghimpunkan 28 syarikat dengan 4,000 jawatan kosong melibatkan sektor perkhidmatan, peruncitan dan profesional.
“Untuk jelajah hari ini menghimpunkan 28 syarikat dengan 4,000 jawatan kosong ditawarkan antaranya sektor perkhidmatan dan peruncitan. Ada juga bidang profesional dengan gaji lebih RM5,000.
“Jawatan kosong ditawarkan mengikut demografik dan profil pencari kerja. Jadi kita bawa syarikat kepada mereka selain mengikut pasaran. Kita sasar untuk hari ini lebih 200 akan hadir untuk sesi temu duga.
“Secara keseluruhan sepanjang anjuran karnival ini ada 10,000 tawaran kerja dan percaya akan meningkat pada siri akan datang,” katanya ketika ditemui pada karnival itu di Pusat Pembangunan Kemahiran Teknikal Selangor (STDC) di sini, hari ini.

Kerajaan Negeri merancang mengadakan sembilan siri Jelajah JobCare Selangor tahun ini, bermula di Kuala Langat sebagai usaha memperluaskan akses kepada peluang pekerjaan untuk rakyat negeri ini.
Karnival itu menyasarkan sehingga 40,000 peluang pekerjaan merangkumi pelbagai sektor, selain menampilkan dua segmen utama iaitu JobCare Istimewa dan JobCare Premium.
Sebelum ini, ketika membentangkan Belanjawan Selangor 2026, Dato' Menteri Besar Dato' Seri Amirudin Shari memaklumkan karnival jelajah itu akan ditambah baik tahun depan termasuk melibatkan program pensijilan dan pembangunan kemahiran.
Beliau berkata sebanyak RM1 juta diperuntukkan bagi melaksanakan inisiatif berkenaan dalam usaha menangani isu pengangguran.









