SHAH ALAM, 10 OGOS: Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO) merekodkan 212,124 kekosongan jawatan di Selangor bagi tempoh 1 Januari hingga 10 Julai lalu, kata EXCO Sumber Manusia.
V Papparaidu berkata dalam tempoh sama, seramai 14,768 individu direkodkan berada dalam transisi kerjaya dengan 4,263 daripadanya berjaya memperoleh pekerjaan semula melalui pelbagai inisiatif padanan pekerjaan.
Menurutnya, antara langkah khusus bagi menyokong majikan dan mengurangkan bilangan individu kehilangan pekerjaan adalah memperkukuh intervensi pasaran buruh melalui PERKESO.
“Antara program dan langkah khusus yang dilaksanakan bagi menyokong majikan serta mengurangkan bilangan individu yang kehilangan pekerjaan adalah memperkukuh intervensi pasaran buruh melalui PERKESO, termasuk pelaksanaan sesi profiling dan padanan pekerjaan.

“Kita juga melaksanakan program peningkatan kemahiran (upskilling) dan latihan semula (reskilling) bagi membantu pekerja memperoleh kemahiran baharu selaras dengan kehendak industri semasa,” katanya.
Beliau berkata demikian menjawab soalan lisan Ahli Dewan Negeri (ADN) Sungai Burong, Dr Mohd Zamri Zainuldin mengenai program khusus bagi mengurangkan bilangan individu hilang pekerjaan di persidangan Dewan Negeri Selangor (DNS), hari ini.
Papparaidu menambah, Pakej Pengukuhan Daya Tahan Selangor bagi Fasa 1 dan Fasa 2 yang merangkumi pelbagai inisiatif memperkukuh perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS), dijangka berupaya merangsang aktiviti ekonomi serta mengekalkan keyakinan pelabur.
Menurut ADN Banting itu lagi, kedua-dua inisiatif Kerajaan Negeri berjumlah RM355.06 juta itu secara tidak langsung membantu mengekalkan perniagaan dan peluang pekerjaan di Selangor.
“Kerajaan Negeri akan terus memperkukuh kerjasama dengan PERKESO, pihak industri, majikan dan agensi berkaitan bagi memastikan setiap individu yang terkesan dapat dibantu melalui peluang pekerjaan, latihan dan intervensi yang bersesuaian,” katanya.










