SHAH ALAM, 29 OGOS: Penamatan kontrak membekalkan makanan bukan noktah buat pemilik Bakeri Yana, Nurliyana Habul Abas, sebaliknya membuka peluang kepadanya membina lembaran baharu dalam perniagaan.
Nurliyana pada awalnya menjadi pembekal roti kepada 13 sekolah selain stesen minyak dan mencatat jualan memberangsangkan sepanjang 2025.
Namun, perniagaannya diuji pada awal tahun ini susulan ketetapan Kementerian Pendidikan yang mengurangkan makanan berproses di kantin sehingga menjejaskan jumlah sekolah yang menerima bekalan rotinya.
“Dari arahan tersebut, jumlah sekolah yang kami bekalkan roti dari 13 sekolah berkurang kepada dua tiga sekolah sahaja.
“Perkara itu tidak membuatkan kami mengalah dalam perniagaan, sebaliknya kami terus merangka strategi perniagaan baharu dengan menukar produk kepada penghasilan donat,” katanya.
Menurut Nurliyana, perubahan strategi itu turut membuka ruang kepada perniagaannya untuk menyertai pelbagai acara jualan setiap minggu.
“Strategi ini membuahkan hasil apabila produk donat kami mula mendapat tempat dan dikenali masyarakat,” katanya.
Nurliyana yang ditemui pada Malam Anugerah Platform Selangor (MAPS) baru-baru ini turut dinobatkan sebagai penerima Anugerah Usahawan Cemerlang PLATS Biaya.
Pengiktirafan berkenaan diberikan atas kejayaannya memanfaatkan peluang menerusi ekosistem PLATS.
Nurliyana berharap usahawan yang sedang bergelut dengan cabaran dan ujian terus bertahan, tidak sesekali mengalah serta sentiasa mencari peluang baharu demi masa depan komuniti peniaga bersama.









