Sijil halal tingkat keyakinan pelanggan, usahawan PLATS tembusi pasaran global

2 Ogos 2025, 5:21 AM
Sijil halal tingkat keyakinan pelanggan, usahawan PLATS tembusi pasaran global
Sijil halal tingkat keyakinan pelanggan, usahawan PLATS tembusi pasaran global
Sijil halal tingkat keyakinan pelanggan, usahawan PLATS tembusi pasaran global

Oleh Muhammad Rey Hazriell

SHAH ALAM, 1 OGOS: Pensijilan halal menjadi pemangkin kepada peserta Program Latihan Pembangunan Usahawan Platform Selangor (U-PLATS) untuk mengembangkan perniagaan, membina keyakinan pelanggan serta menembusi pasaran lebih luas termasuk antarabangsa.

Usahawan maruku, Faizah Burok, 55, yang menghasilkan maruku udang geragau dan maruku nanas sejak 2012 berkata penyertaannya dalam PLATS menjadi titik perubahan besar dalam perjalanan perniagaannya.

Image caption here...

“Selepas menyertai PLATS, urusan mendapatkan sijil halal menjadi lebih mudah. Bila ada pengiktirafan tersebut, pelanggan lebih yakin dan tempahan juga meningkat,” katanya ketika ditemui pada Malam Anugerah Platform Selangor (MAPS) 2025 di sini malam tadi.

Faizah merupakan antara empat penerima Anugerah Peserta Terbaik U-PLATS Halal atas kejayaan memperoleh Sijil Pengesahan Halal Malaysia. Anugerah disampaikan Duli Yang Teramat Mulia Raja Muda Selangor, Tengku Amir Shah, disaksikan Dato’ Menteri Besar, Dato’ Seri Amirudin Shari dan EXCO Keusahawanan, Mohd Najwan Halimi.

Menurut Faizah, sijil halal bukan sahaja melonjakkan jualan dalam negara malah membuka peluang eksport, termasuk kejayaan menembusi pasaran Perancis.

Seorang lagi penerima anugerah, Roselinda Nurul Shuhada Mohd Amin, 50, turut mengakui pensijilan halal memberi nilai tambah kepada produknya sekali gus meningkatkan kepercayaan pengguna.

“Dulu bila nak promosi, ada juga pelanggan yang ragu-ragu. Tapi selepas ada sijil halal, promosi jadi lebih lancar dan pelanggan pun lebih yakin,” ujarnya.

Tambah Roselinda, bengkel dan latihan yang disediakan melalui PLATS turut membantunya dari aspek pemasaran digital, termasuk cara memaparkan produk secara profesional di media sosial.