SUKMA 2026: Selangor atasi Negeri Sembilan 76-72 aksi pembukaan bola keranjang

15 Ogos 2026, 1:32 AM
SUKMA 2026: Selangor atasi Negeri Sembilan 76-72 aksi pembukaan bola keranjang

SHAH ALAM, 15 OGOS: Selangor membuka kempen bola keranjang lima lawan lima Sukan Malaysia (SUKMA) 2026 dengan langkah kanan selepas menewaskan Negeri Sembilan 76-72 dalam aksi pusingan awal Kumpulan A, semalam.

Kemenangan itu diraih selepas skuad tuan rumah berdepan tentangan sengit Negeri Sembilan yang dilihat antara pasukan terkuat dalam saingan SUKMA kali ini.

Kapten Selangor Yap Zen Haw berkata kerjasama, komunikasi serta kekuatan pertahanan menjadi antara faktor penting membantu pasukannya mengatasi cabaran lawan.

“Ini perlawanan pertama saya di SUKMA dan saya rasa perlawanan ini sangat sengit. Kami berjaya kerana bekerja sebagai satu pasukan, mempunyai komunikasi yang baik dan bermain secara bertahan bersama-sama.

“Namun, kami masih boleh memperbaiki permainan dan melakukan lebih baik dalam perlawanan seterusnya dan sasaran kami adalah untuk muncul juara,” katanya ketika ditemui Media Selangor.

Menurut Zen Haw, Negeri Sembilan merupakan antara pasukan terkuat dalam saingan kali ini selain Kuala Lumpur dan Johor.

Sementara itu, Jurulatih Selangor Kee Kok Weng berpuas hati dengan prestasi anak buahnya terutama semangat juang yang dipamerkan sepanjang perlawanan.

“Saya sangat berpuas hati dengan prestasi mereka kerana semangat juang yang ditunjukkan sangat kuat, Negeri Sembilan adalah pasukan yang bersedia mencabar kami kerana kami merupakan juara bertahan.

“Kami sudah membuat persiapan menghadapi pasukan ini kira-kira dua tahun, namun dua atau tiga pemain masih melanjutkan pengajian di luar negara menyebabkan persiapan kami tidak mencukupi,” katanya.

Selangor dijadualkan meneruskan saingan Kumpulan A dengan menentang Perak pada 16 Ogos ini.

Kategorisukankini

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.