Dua emas pertama SUKMA 2026 milik Selangor

13 Ogos 2026, 6:46 AM
Dua emas pertama SUKMA 2026 milik Selangor
Dua emas pertama SUKMA 2026 milik Selangor
Dua emas pertama SUKMA 2026 milik Selangor
Dua emas pertama SUKMA 2026 milik Selangor

KLANG, 13 OGOS: Kontinjen Selangor membuka tirai pungutan pingat Sukan Malaysia (SUKMA) 2026 dengan penuh bergaya apabila meraih dua pingat emas pertama temasya menerusi acara bola keranjang 3x3 lelaki dan wanita, hari ini.

Kedua-dua skuad membuktikan keunggulan di gelanggang sendiri apabila masing-masing menewaskan Wilayah Persekutuan pada aksi final yang berlangsung di Gelanggang Bola Keranjang Bukit Tinggi di sini.

Skuad wanita terlebih dahulu menghadiahkan emas pertama buat kontinjen Selangor selepas melakar kemenangan bergaya 21-4 ke atas Wilayah Persekutuan.

Kejayaan itu turut menyaksikan Selangor berjaya mempertahankan emas yang dimenangi pada edisi SUKMA 2024 di Sarawak.

Tidak lama kemudian, skuad lelaki meneruskan momentum sama apabila menewaskan Wilayah Persekutuan 21-13 sekali gus melengkapkan sapuan bersih dua pingat emas dalam acara bola keranjang 3x3.

Dibantu sorakan padu pasukan sorak Selangor serta sokongan penyokong yang memenuhi gelanggang, kedua-dua skuad tuan rumah tampil tenang mengawal permainan bagi membuktikan status mereka sebagai pasukan pilihan.

Pengurus pasukan, Tan Boon Thiam menyifatkan kejayaan mempertahankan dua pingat emas itu sebagai satu pencapaian cukup bermakna, selain mendedikasikannya kepada seluruh penyokong dan rakyat Selangor.

"Sememangnya kami gembira dengan dua pingat emas ini. Bukan mudah untuk mempertahankan kejuaraan namun para pemain kami menunjukkan sikap yang matang dan mereka dapat memberikan kejayaan buat kontinjen Selangor.

“Kejayaan kami ini juga diharap dapat menaikkan lagi semangat seluruh kontinjen Selangor untuk muncul sebagai juara keseluruhan temasya kali ini di laman sendiri,” katanya kepada Media Selangor.

Sementara itu, kapten skuad wanita, Elaine Chong Hui Lin mengakui terharu apabila berjaya menghadiahkan pingat emas pertama buat Selangor di laman sendiri.

Menurutnya, tekanan tetap dirasai apabila menyedari skuadnya berpeluang membuka akaun emas kontinjen tuan rumah.

“Saya dan rakan sepasukan sedikit tertekan apabila mengetahui yang kami berkemungkinan menghadiahkan pingat emas pertama buat kontinjen Selangor.

“Tetapi sebaik kami masuk ke gelanggang, fokus kami hanya kepada perlawanan dan akhirnya tuah memihak kepada kami untuk mempertahankan pingat emas ini,” katanya.

Kejayaan meraih dua emas dua hari sebelum upacara pembukaan rasmi SUKMA 2026 itu pastinya menjadi suntikan semangat buat kontinjen Selangor untuk meneruskan momentum positif dalam misi memburu gelaran juara keseluruhan di laman sendiri.

Kategorisukankini

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.