PUTRAJAYA, 29 SEPT: Polis sedang mengesan pemandu sebuah motolori yang dipercayai meninggalkan lokasi kemalangan selepas terbabit dalam nahas yang meragut nyawa penunggang dan pembonceng motosikal di KM 1.5 Jalan Persiaran Timur di sini, semalam.
Ketua Polis Daerah Sepang ACP Norhizam Bahaman berkata kemalangan kira-kira 5 petang itu membabitkan sebuah motosikal Yamaha Y15ZR dengan sebuah motolori yang nombor pendaftaran serta jenisnya belum dikenal pasti.
Beliau berkata siasatan awal mendapati motosikal berkenaan sedang bergerak dari arah Dengkil menghala ke Putrajaya sebelum dipercayai melanggar bahagian belakang motolori terbabit.
"Berdasarkan maklumat saksi bebas di tempat kejadian, motolori itu kemudian meninggalkan lokasi selepas kemalangan berlaku," katanya dalam kenyataan di sini hari ini.
Norhizam berkata penunggang motosikal, lelaki tempatan berusia 40-an yang bekerja sebagai juruteknik sektor kerajaan, mengalami kecederaan parah di kepala dan disahkan meninggal dunia di tempat kejadian.
Manakala, pemboncengnya wanita tempatan berusia lingkungan 30-an yang bekerja di sebuah universiti swasta, mengalami kecederaan parah pada kaki kanan dan turut disahkan meninggal dunia di lokasi.
Beliau berkata siasatan mendapati penunggang motosikal mempunyai lesen memandu yang masih sah tempoh dan kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 kerana memandu dengan melulu atau berbahaya sehingga menyebabkan kematian.
“Polis meminta saksi yang melihat kejadian tampil membantu siasatan, khususnya bagi mengesan pemandu motolori terbabit. Orang ramai juga dinasihatkan supaya tidak membuat spekulasi yang boleh mengganggu siasatan,” katanya.
Beliau berkata orang ramai yang mempunyai sebarang maklumat diminta menghubungi pegawai penyiasat Insp Mohamad Fadzil Zainol Abidin di talian 019-6488474 atau 03-87774264.







