SHAH ALAM, 14 OGOS: Perkhidmatan Transit Aliran Ringan 3 (LRT3) Laluan Shah Alam akan mula mengenakan tambang kepada penumpang bermula esok (15 Ogos) selepas tamat tempoh perjalanan percuma selama enam minggu.
Rapid KL memaklumkan pelaksanaan perkhidmatan berbayar itu turut merangkumi tambang bagi perkhidmatan bas perantara serta kemudahan Park N' Ride di sepanjang laluan berkenaan.
"Pelaksanaan itu menandakan fasa baharu operasi LRT Laluan Shah Alam selepas kemudahan perjalanan percuma selama enam minggu mendapat sambutan orang ramai," katanya dalam kenyataan hari ini.
Dalam pada itu, Rapid KL menasihatkan penumpang supaya membuat persediaan sebelum memulakan perjalanan, termasuk memastikan kaedah pembayaran yang digunakan mencukupi.

“Bagi penggunaan kad, penumpang hendaklah memastikan baki dalam kad sekurang-kurangnya RM5.
“Penumpang turut boleh menyemak kadar tambang Laluan Shah Alam melalui laman rasmi MyRapid atau mendapatkan maklumat mengenai tambang di stesen sebelum memulakan perjalanan,” katanya.
Rapid KL turut memaklumkan tambang konsesi menerusi Kad Konsesi MyRapid disediakan kepada golongan yang layak.
“Kategori yang layak menggunakan Kad Konsesi MyRapid termasuk pelajar, warga emas dan orang kurang upaya.
“Mereka yang layak boleh menggunakan kad konsesi masing-masing untuk menikmati kadar tambang yang ditetapkan,” menurut kenyataan itu lagi.

Rapid KL turut mengalu-alukan orang ramai untuk terus menggunakan Laluan Shah Alam dan menjadikan pengangkutan awam sebagai pilihan bagi perjalanan harian yang lebih mudah, selamat dan lancar.
"Maklumat lanjut dan perkembangan terkini boleh diperoleh menerusi laman rasmi MyRapid, aplikasi PULSE serta saluran media sosial rasmi Rapid KL," katanya.
Pada 31 Julai lalu, Rapid KL melanjutkan tempoh perkhidmatan percuma LRT3 Laluan Shah Alam sehingga 14 Ogos ini.
Rapid KL memaklumkan lanjutan itu memberi peluang kepada lebih ramai pengguna menikmati kemudahan tersebut serta membiasakan diri dengan sistem pengangkutan baharu yang menghubungkan Petaling Jaya, Shah Alam dan Klang.









