SHAH ALAM, 14 OGOS: Ribut petir, hujan lebat dan angin kencang dijangka melanda empat daerah di Selangor sehingga jam 6 petang ini.
Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia) memaklumkan kawasan terlibat ialah Sabak Bernam, Kuala Selangor, Hulu Selangor dan Gombak.
Amaran cuaca sama turut dikeluarkan di beberapa kawasan di Perak, Terengganu dan Pahang, selain seluruh Kelantan.
Di Perak, kawasan terlibat ialah Manjung, Bagan Datuk, Kinta, Perak Tengah, Hilir Perak, Batang Padang, Kampar dan Muallim.
Bagi Terengganu, amaran membabitkan Besut, Kuala Nerus, Setiu, Hulu Terengganu dan Kuala Terengganu, manakala di Pahang meliputi Cameron Highlands, Lipis, Raub, Bentong, Jerantut, Temerloh, Bera dan Pekan.
"Amaran dikeluarkan apabila terdapat tanda-tanda menunjukkan ribut petir dengan intensiti hujan melebihi 20 milimeter sejam yang hampir atau dijangka berlaku melebihi sejam.
"Amaran ribut petir merupakan amaran jangka pendek yang sah dalam tempoh tidak melebihi enam jam bagi setiap keluaran," katanya dalam kenyataan hari ini.
Orang ramai di kawasan terlibat dinasihatkan supaya berwaspada, mengelakkan aktiviti luar serta sentiasa mengikuti perkembangan cuaca terkini yang dikeluarkan MetMalaysia.





