KUALA LUMPUR, 14 OGOS: Lebih 30 pengamal media dari pelbagai agensi menyertai program Literasi Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) Lembaga Tabung Haji (TH) yang diadakan di Institut Kefahaman Islam Malaysia (IKIM) di sini, hari ini.
Program anjuran bersama Malaysian Press Institute (MPI) itu menampilkan Pengarah Urusan Kumpulan dan Ketua Pegawai Eksekutif Lembaga TH, Mustakim Mohamad sebagai panel utama, selain turut dihadiri Ketua Pengarah IKIM, Dato’ Dr Mohamed Azam Mohamed Adi.
Dalam sesi perkongsian selama dua jam yang berlangsung secara tertutup itu, pengamal media diberi taklimat mengenai prestasi kewangan, status pelaksanaan syor RCI, keadaan semasa serta hala tuju strategik TH pada masa hadapan.
Sementara itu, Presiden MPI, Datuk Yong Soo Heong menyatakan penghargaan kepada IKIM dan Lembaga TH yang sudi memberikan penerangan mendalam kepada pengamal media berhubung isu yang disifatkan sebagai amat penting ketika ini.
“Kerjasama yang sangat bermakna antara MPI dan IKIM. Kami amat berterima kasih kerana sudi menjemput wartawan untuk mendapatkan maklumat secara mendalam tentang satu isu penting kepada negara.

“Dengan kerjasama IKIM, kita boleh anjurkan di tempat lain juga. Kalau kita tumpu di Kuala Lumpur sahaja, ia tidak dapat beri penjelasan yang lebih berkesan. Saya rasa ini langkah yang lebih baik supaya umum dapat mengetahui dengan lebih jelas,” katanya.
Awal bulan ini, MPI dan IKIM dilapor meneroka kerjasama bagi memperkukuh literasi agama dalam kalangan pengamal media supaya isu berkaitan agama dapat dilaporkan dengan lebih tepat, jelas dan mudah difahami masyarakat.
Laporan RCI TH didedahkan kepada umum pada 29 Julai lalu, yang merekodkan pelbagai kelemahan pengurusan dan operasi pengurusan Lembaga TH bagi tempoh 2014 hingga 2020.
Laporan setebal 211 halaman itu turut mengemukakan 25 syor penambahbaikan, dengan 75 peratus daripadanya telah dilaksanakan oleh TH setakat 30 Julai lalu.






