Simpanan minimum RM15,000 kurangkan penolakan tawaran haji

13 Okt 2026, 8:48 AM
Simpanan minimum RM15,000 kurangkan penolakan tawaran haji
Simpanan minimum RM15,000 kurangkan penolakan tawaran haji
Simpanan minimum RM15,000 kurangkan penolakan tawaran haji
Simpanan minimum RM15,000 kurangkan penolakan tawaran haji

SEREMBAN, 13 OKT: Penetapan simpanan minimum RM15,000 sebagai syarat sebelum menerima tawaran menunaikan haji membantu Lembaga Tabung Haji (TH) mengurangkan jumlah bakal jemaah yang menolak tawaran berkenaan.

Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Marhamah Rosli berkata penetapan berkenaan adalah langkah positif bagi memastikan bakal jemaah mempunyai persediaan kewangan mencukupi sebelum menunaikan ibadah haji.

"Apabila ada ketetapan seperti itu, jumlah yang menolak selepas dapat panggilan haji itu berkurangan sangat tinggi. Ia juga mengelakkan daripada TH melakukan perkara berulang, maksudnya buat tawaran, kemudian ditolak, tawaran lagi.

“Jadi, kita tengok dari sudut positif dan ingatan untuk semua termasuk saya juga, sama-samalah kita menuju istito'ah kerana haji itu menuntut kesungguhan,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan penutupan Konvensyen AI dan Kehakiman Islam Kebangsaan 2026 di sini hari ini.

Beliau berkata kempen kemampuan menunaikan haji atau inisiatif Seruan Istito’ah telah lama dilaksanakan TH bagi meningkatkan kesedaran masyarakat mengenai kepentingan membuat persediaan sebelum menyahut panggilan ke Baitullah.

Marhamah berkata istito'ah bukan sahaja merangkumi kemampuan kewangan malah turut mengambil kira aspek kesihatan dan persediaan lain bagi memastikan bakal jemaah bersedia menunaikan ibadah berkenaan.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Dr Zulkifli Hasan sebelum ini dilaporkan berkata 80 peratus daripada 4.1 juta pendeposit TH dikenal pasti belum melengkapkan simpanan minimum RM15,000 bagi membolehkan mereka diberi giliran menunaikan haji.

Dalam pada itu, Marhamah berkata TH sentiasa mengambil langkah sewajarnya bagi memastikan simpanan pendeposit dijaga dengan baik susulan dakwaan di media sosial mengenai kehilangan wang simpanan seorang pendeposit.

Beliau berkata perkara itu bagaimanapun perlu dirujuk kepada TH untuk mendapatkan penjelasan lanjut selain mengingatkan orang ramai supaya menyemak kesahihan sesuatu dakwaan sebelum membuat sebarang kesimpulan.

Sementara itu, beliau berkata penggunaan kecerdasan buatan (AI) dalam sistem kehakiman syariah perlu diperkasa bagi membantu mempercepat urusan kerja dan menangani lambakan kes, namun penggunaannya perlu diseimbangkan dengan kebijaksanaan manusia.

Beliau berkata teknologi AI boleh dimanfaatkan untuk membantu pengamal undang-undang syariah menguruskan dokumentasi dan merumuskan maklumat daripada sejumlah besar dokumen berkaitan sesuatu kes, sekali gus memudahkan proses penelitian dan pertimbangan.

Bagaimanapun, beliau berkata cadangan dihasilkan AI tidak boleh diterima bulat-bulat atau dijadikan asas muktamad dalam membuat keputusan terutama apabila melibatkan nasib dan kebajikan pihak yang terlibat dalam sesuatu kes.

Konvensyen AI dan Kehakiman Islam Kebangsaan 2026 yang diadakan selama dua hari sejak semalam turut mengemukakan 10 resolusi antaranya keperluan membangunkan dasar dan polisi berkaitan penggunaan AI yang boleh dimanfaatkan mahkamah syariah serta pengamal undang-undang syariah.

Kategorinasional

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.