Balingannya tidak bermula dengan minat. Sekadar cuba bermain semasa mengikuti ibu saudaranya, Nor Hashimah Ismail. Saban hari minatnya bercambah, bagai ada keserasian terjalin dalam diam.
Meski tiada pengetahuan asas, Muhammad Haiqal Azami yang ketika itu berusia 12 tahun terus melontar lembut bola yang diperbuat daripada bahan komposit plastik keras menuju sasaran. Pada masa itu, beliau tidak terfikir menceburi sukan itu kerana beranggapan ia kurang popular berbanding sukan lain.
Sebaliknya, bakat yang diasah sejak sekolah rendah kian tajam hasil bimbingan Nor Hashimah yang juga bekas pemenang emas Sukan Komanwel Melbourne 2006 di Australia dalam acara boling padang bertiga.
“Pada mulanya saya memang tidak berminat kerana saya tidak tahu apa-apa mengenai boling padang. Saya lebih cenderung sukan lain seperti badminton.
“Tetapi selepas mengikuti latihan dan menyertai beberapa pertandingan, saya mula suka dengan sukan ini hingga memilih untuk meneruskannya secara serius,” kata pemain kidal itu kepada Media Selangor.
Pertama kali mewakili Selangor dalam Sukan Malaysia (SUKMA) 2014 di Perlis, Muhammad Haiqal sekadar pemain simpanan. Namun, beliau terus gigih berlatih, tidak lagi menoleh ke belakang.
Dalam SUKMA 2016 di Sarawak, beliau mempamer kebolehan sebenar dan membawa pulang pingat gangsa acara perseorangan. Kemaraan diteruskan dua tahun kemudian di Perak dengan membawa pulang kalungan pingat emas dan perak.
Malangnya, momentum itu tidak dapat diteruskan akibat penularan Covid-19. SUKMA 2020 di Johor dibatal akibat pandemik. Ketika itu, Muhammad Haiqal dirundung kecewa lantaran persiapan rapi telah dibuat. Namun, beliau akur akan ketentuan takdir.
Sungguhpun begitu, bekas pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan Tengku Ampuan Jemaah, Klang kembali menyerlah dalam SUKMA di Kuala Lumpur pada 2022 apabila meraih satu pingat emas dan satu pingat gangsa.
Beliau yang kini berusia 27 tahun itu mengakui kejayaan tidak datang bergolek sebaliknya menuntut pelbagai pengorbanan. Kecekalan dan disiplin penting bagi memastikan persembahannya kekal konsisten.
Segala kesukaran tidak melunturkan semangatnya.

Ketika orang lain ceria bersama keluarga pada hujung minggu, Muhammad Haiqal tegak berdiri di padang melengkapkan rutin latihan atau menyertai pertandingan.
“Ada masanya saya berasa sedih kerana banyak perkara yang terpaksa dikorbankan. Namun, saya percaya setiap kejayaan mempunyai harga yang perlu dibayar.
“Saya sentiasa mengingatkan diri bahawa segala pengorbanan hari ini mungkin akan menjadi kebanggaan pada masa hadapan,” katanya.
Sokongan keluarga juga antara sumber kekuatan sepanjang bergelar atlet. Setiap doa dan kepercayaan menjadi pembakar semangat untuk bangkit mendepani cabaran. Beliau juga bersyukur kerana tidak pernah mengalami kecederaan serius memandangkan risikonya lebih rendah berbanding sukan lain.
Namun, ketahanan mental sama penting dengan latihan fizikal. Selain mengamal pemakanan seimbang bagi mengekal kecergasan, boling padang memerlukan tumpuan tinggi. Setiap lontaran menentukan kutipan mata dan keputusan perlawanan.
“Sukan ini mungkin tidak memerlukan pergerakan yang lasak, tetapi ia menguji kekuatan mental, kesabaran dan keupayaan membuat keputusan dalam keadaan tertekan,” katanya yang masih aktif dalam sukan itu.
Pembantu tadbir di Majlis Sukan Negeri (MSN) Selangor itu juga percaya kejayaan atlet di pentas antarabangsa menambahkan minat orang ramai terhadap sukan itu seterusnya melahirkan lebih ramai pemain berbakat.
Hingga kini, semangatnya untuk menjulang nama negara tidak pernah pudar. Muhammad Haiqal mahu terus menyumbang kepada pembangunan sukan itu, di samping menggapai Impian bergelar juara dunia.









