EXCO: Selangor perkukuh kerjasama pertahan hak, kepentingan Orang Asli

14 Ogos 2026, 7:00 AM
EXCO: Selangor perkukuh kerjasama pertahan hak, kepentingan Orang Asli
EXCO: Selangor perkukuh kerjasama pertahan hak, kepentingan Orang Asli

SHAH ALAM, 14 OGOS: Kerjasama antara Kerajaan Negeri, ahli akademik, pengamal undang-undang dan kepimpinan Orang Asli akan terus diperkukuh bagi menangani isu tanah serta mempertahankan hak masyarakat berkenaan di Selangor.

EXCO Hal Ehwal Orang Asli Papparaidu Veraman berkata perkara itu antara tumpuan dalam pertemuannya bersama wakil Jabatan Sains Sosial dan Pembangunan, Fakulti Ekologi, Universiti Putra Malaysia (UPM) Profesor Dr Sarjit Singh dan peguam Bah Tony Amani William.

Menurutnya, pertemuan tersebut memberi perhatian terhadap isu tanah Orang Asli di Selangor, khususnya cabaran dalam mempertahankan hak dan kepentingan tanah adat.

Pada masa sama, usaha mencari pendekatan penyelesaian yang lebih berkesan dan menyeluruh turut menjadi antara perkara yang dibincangkan.

“Keperluan memperkukuhkan lagi kerjasama antara Kerajaan Negeri, ahli akademik, pengamal undang-undang dan kepimpinan Orang Asli turut dibincangkan.

“Ini supaya setiap isu yang diteliti secara menyeluruh berdasarkan peruntukan undang-undang, dasar kerajaan serta realiti kehidupan masyarakat di lapangan,” katanya menerusi hantaran Facebook semalam.

Papparaidu berkata beliau turut menerima cadangan berhubung pewujudan program pemantapan dan pemurnian kepimpinan Orang Asli, khususnya dalam kalangan belia.

“Ini dapat membantu usaha untuk melahirkan generasi pemimpin yang berpengetahuan, berintegriti dan berwibawa serta mampu memahami perkembangan dasar dan isu semasa yang memberi kesan kepada masyarakat Orang Asli,” katanya.

Beliau percaya pemerkasaan kepimpinan masyarakat itu penting bagi memastikan suara Orang Asli bukan sahaja dapat dibawa pada peringkat akar umbi, malah diketengahkan dengan lebih berkesan.

"Saya percaya pemerkasaan kepimpinan Orang Asli amat penting supaya suara masyarakat bukan sahaja dapat dibawa dari peringkat akar umbi, malah dapat diketengahkan secara lebih berkesan dalam perbincangan dasar, pembangunan komuniti dan penyelesaian isu-isu strategik," katanya.

Kategoriexco

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.