
SUBANG JAYA, 18 OGOS: Hanya satu mata memisahkan skuad kabaddi lelaki Selangor daripada pingat emas pada Sukan Malaysia (SUKMA) 2026, namun kejayaan pasukan wanita merangkul emas sedikit sebanyak melengkapkan pencapaian skuad negeri pada temasya kali ini.
Dalam aksi final acara lelaki di Stadium MBSJ, Serdang Jaya, petang tadi, Selangor memberikan saingan sengit kepada Kedah sebelum beberapa kesilapan kecil pada penghujung perlawanan menyaksikan mereka terlepas emas dan membawa pulang pingat perak.
Jurulatih Selangor, S Thiagu berkata anak buahnya sudah memberikan komitmen terbaik sepanjang perlawanan, namun tekanan pada penghujung permainan menyebabkan mereka kehilangan mata penting.

“Memang sakit hati jugalah sebab (perbezaan) satu mata, kita hilang pingat emas. Tetapi untuk pasukan wanita kita ucap tahniah sebab mereka melakukan apa yang kita suruh.
“Pasukan lelaki pun dengar (arahan) tetapi situasi perlawanan menyebabkan mereka sedikit tertekan,” katanya selepas tamat perlawanan.
Thiagu berkata kejayaan skuad wanita merangkul emas membuktikan usaha pasukan kabaddi Selangor tetap membuahkan hasil, apatah lagi kedua-dua skuad turut membawa pulang pingat perak pada SUKMA 2024 di Sarawak.

“Dalam edisi 2024 pun dua-dua pasukan dapat pingat perak, kalah satu mata juga. Tapi kali ini satu pasukan berjaya dapat emas.
“Untuk akan datang, kita akan mula latihan awal dan cari pemain baharu untuk menggantikan beberapa pemain yang sudah melepasi had umur,” katanya.

Sementara itu, Ketua Kontinjen SUKMA Selangor, Abbas Azmi berkata beliau berpuas hati dengan pencapaian keseluruhan skuad kabaddi yang berjaya membawa pulang satu pingat emas dan satu perak.
“Secara keseluruhan, saya tetap berpuas hati dengan skuad kabaddi Selangor yang berjaya mara ke perlawanan akhir dan kita dapat satu pingat emas serta satu perak,” katanya kepada Media Selangor.

Menurutnya, sumbangan pingat emas skuad wanita turut membantu Selangor mengumpul 22 pingat emas setakat petang ini, dengan satu lagi acara masih menunggu keputusan.
“Kalau kita tengok, perolehan pingat emas pada petang ini untuk Selangor telah mencapai sebanyak 22 pingat emas dan sedang menunggu keputusan satu lagi acara. Jadi, jika tiada apa-apa, kita menamatkan acara hari ini dengan jumlah 22 emas, lebih banyak daripada semalam,” katanya.
Thiagu berkata pengalaman skuad lelaki pada final kali ini akan dijadikan bekalan untuk memperkemas persiapan dan memburu sasaran dua pingat emas pada edisi SUKMA akan datang.







