SHAH ALAM, 13 NOV: Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia) mengeluarkan amaran ribut petir, hujan lebat dan angin kencang membabitkan lima daerah di Selangor sehingga jam 12 tengah hari ini.
Menurut MetMalaysia, kawasan terjejas meliputi Sabak Bernam, Kuala Selangor, Kuala Langat, Sepang dan Klang.
Beberapa negeri turut diramal menghadapi cuaca sama iaitu Perlis, Kedah melibatkan daerah Pendang, Padang Terap, Kota Setar, Pokok Sena, Langkawi, Kubang Pasu dan Yan, Perak (Bagan Datuk dan Manjung), Kelantan (Tumpat, Pasir Puteh, Bachok, Kota Bharu, Pasir Mas, Jeli, Tanah Merah dan Machang) serta Pahang (Pulau Tioman).
Selain itu Negeri Sembilan (Port Dickson), Sabah: Sandakan (Kinabatangan, Sandakan, Labuk & Sugut dan Paitan), Tawau, Kudat (Pitas dan Kudat).
Amaran itu dikeluarkan susulan tanda-tanda ribut petir dengan intensiti hujan melebihi 20 milimeter sejam yang hampir berlaku atau dijangka berterusan melebihi sejam.
MetMalaysia menjelaskan amaran ribut petir merupakan amaran jangka pendek yang sah dalam tempoh tidak melebihi enam jam bagi setiap keluaran.
Orang ramai dinasihatkan supaya sentiasa berwaspada terhadap perubahan cuaca dan merujuk maklumat terkini menerusi saluran rasmi MetMalaysia.








