Jual ikan, sayur demi bina nama di pentas dunia

14 Ogos 2026, 2:00 AM
Jual ikan, sayur demi bina nama di pentas dunia
Jual ikan, sayur demi bina nama di pentas dunia

Jika bukan kerana sikap degilnya, Ayzek Hakimi Safingan tidak mungkin bergelar pemain petanque negara pada masa kini.

Pada usia 14 tahun, anak kelahiran Sepang itu kerap pulang lewat, kira-kira jam 1 pagi baru muncul di rumah. Semua gara-gara minatnya dalam sukan berkenaan.

Pada awalnya, ibu bapanya menentang Ayzek Hakimi berlatih petanque. Bimbang pelajaran terabai dan tiada masa di rumah sedangkan tahun hadapan, beliau menghadapi peperiksaan Pentaksiran Tingkatan Tiga (PT3).

Ketika berada di tingkatan dua, dia terpaksa menjual ikan dan sayur semata-mata mahu mengumpul duit yuran pertandingan petanque sebanyak RM50.

“Kalau nak pergi bertanding, saya memang cari duit sendiri. Saya jual ikan, saya jual pucuk manis. Duit itulah saya bawa pergi bertanding.

“Keluarga saya pada masa itu susah, mak ayah pula tak suka dengan sukan ini, jadi saya kena usaha sendiri. Tiada erti putus asa bagi saya,” ceritanya kepada Media Selangor.

Lima puluh ringgit mungkin tidak membawa makna besar bagi sesetengah orang. Akan tetapi, nilai itu banyak membantu Ayzek Hakimi bergelar individu yang mengharumkan nama Selangor dan Malaysia.

Memenangi pingat gangsa pada Sukan Sea Thailand pada 2022, remaja berusia 23 tahun itu juga mengakui petanque bukan sukan popular seperti bola sepak.

“Mungkin itu salah satu sebab ayah saya tak menyokong. Sebab tidak nampak masa depan sukan ini. Tapi saya sertai petanque sebab nak ubah nasib keluarga.

“Saya nak menang duit hadiah dari petanque. Saya pilih sukan ini sebab hasil kemenangannya tidak perlu dikongsi ramai seperti pasukan bola. Ya, saya nak ubah nasib keluarga. Dulu kami hidup susah, bukan senang seperti yang dilihat sekarang,” katanya sambil mengenang masa lalu.

Sebelum mengenali petanque, Ayzek Hakimi sebenarnya bergiat dalam pelbagai acara sukan termasuk kriket dan bola sepak. Malah, pencapaiannya dalam kriket ketika itu agak baik.

Namun, selepas melihat rakan-rakan berlatih petanque di Sekolah Menengah Kebangsaan Sungai Rawang, Sepang beliau langsung tertarik untuk mencuba sesuatu yang baharu. Pada awalnya, Ayzek Hakimi sekadar ingin mencuba. Lama-kelamaan minat itu bertukar menjadi cita-cita.

Ketika kebanyakan rakan seusia pulang ke rumah selepas tamat sesi persekolahan, Ayzek Hakimi pula menuju ke gelanggang latihan. Keletihan akibat latihan juga menyebabkan beliau sering mengantuk di sekolah sehingga ditegur sebahagian gurunya.

“Ayah memang tak sokong. Dia fikir saya balik lewat sebab berkawan atau melepak. Bila cikgu pula beritahu saya selalu mengantuk di kelas, lagilah dia risau,” katanya sambil tersenyum mengingati detik itu.

Namun Ayzek Hakimi memilih untuk terus bertahan. Malah sepanjang berada di tingkatan dua, semua perlawanan yang disertainya gagal membawa sebarang hasil. Walaupun kecewa, beliau tidak pernah terfikir untuk berhenti.

“Kalau kalah, saya masuk lagi pertandingan. Saya percaya kalau saya terus berusaha, satu hari nanti saya akan menang,” katanya.

Kepercayaan itu akhirnya menjadi kenyataan. Semasa tingkatan tiga, beliau mula memenangi kejohanan terbuka sebelum terpilih menyertai skuad Selangor sekali gus menjadi pemain paling muda ketika itu.

Nama Ayzek Hakimi semakin dikenali apabila cemerlang di temasya SUKMA. Pingat emas yang dimenangi pada SUKMA Perak 2018 disifatkannya sebagai detik paling bermakna kerana ia membuka laluan untuk menyarung jersi negara.

Selepas itu, beliau menyertai skuad remaja kebangsaan sebelum dipanggil ke pasukan senior. Pada usia 19 tahun, Ayzek Hakimi membuat penampilan sulung di Sukan SEA di Vietnam dan membawa pulang pingat gangsa buat Malaysia.

Bagi anak muda itu, setiap pingat yang dimenangi mengingatkannya kepada segala liku kepayahan yang pernah dilaluinya selama ini. Meski sibuk memburu kejayaan di gelanggang, beliau cuba menyeimbangi pelajaran. Paling diingati, saat getir menghadapi PT3, hanya sehari selepas SUKMA berakhir.

“Saya belajar dengan bantuan abang dan kakak dalam pasukan. Mereka banyak bantu saya ulang kaji.

Alhamdulillah, saya tetap lulus walaupun masa memang sangat terhad. Itulah yang buat ayah saya bangga, walaupun saya sibuk, tapi pelajaran masih baik,” katanya sambil tersenyum.

Kini, lepasan Sains Sukan Universiti Teknologi MARA (UiTM) Shah Alam itu menjalani rutin yang tidak banyak berubah. Latihan tetap menjadi keutamaan, sama ada di UiTM atau ketika dipanggil menyertai kem latihan pusat kebangsaan.

Jika menyertai latihan pusat, beliau terpaksa berada jauh daripada keluarga selama beberapa bulan. Namun, yang tidak pernah berubah ialah hubungan rapatnya dengan keluarga.

Bagi Ayzek Hakimi, keluarga adalah nyawanya. Pantang ada hari lapang, pasti beliau pulang ke rumah. Tidak kira dari Shah Alam ataupun dari pusat latihan di Kuala Selangor.

“Kalau ada masa, saya memang balik. Saya tak boleh berjauhan dengan keluarga.”

Begitulah, insan yang pernah paling bimbang melihatnya pulang lewat malam kini menjadi penyokong paling setia. Lebih membanggakan, kejayaan Ayzek Hakimi menjadi inspirasi kepada adik-beradiknya.

Cerita pemain harapan negara itu, adik-adiknya sering tertanya bagaimana dia mampu ke luar negara dan boleh menempa nama untuk membanggakan negeri mahupun Malaysia. Seorang daripada adiknya turut mewakili Selangor ke SUKMA dalam sukan sama, manakala adik yang lain giat berlatih pada peringkat sekolah.

Bagi Ayzek Hakimi, itulah kepuasan sebenar. Beliau bukan sahaja mengubah kehidupannya sendiri, malah melorong laluan kepada adik-adiknya untuk mengejar impian.

Dalam masa sama, beliau berharap sukan petanque terus berkembang di negara ini. Ayzek Hakimi percaya Malaysia ada ramai pemain berbakat, namun sukan itu masih memerlukan lebih ramai jurulatih. Program pembangunan dan kemudahan latihan juga perlu bagi melahirkan lebih ramai atlet bertaraf dunia.

Perjalanannya juga belum selesai. Selepas menang gangsa dalam penampilan sulung di Sukan SEA, Ayzek Hakimi kini memburu pingat emas acara sama pada tahun hadapan.

Lebih daripada itu, beliau ada memasang impian untuk beraksi di Kejohanan Piala Dunia Petanque seterusnya berazam untuk mengharumkan nama Malaysia. Segala yang dikecap kini bermula dengan satu keputusan ketika masih remaja. Menjual ikan dan pucuk manis di pasar pagi demi petanque.

Atlet Pétanque Selangor, Ayzek Hakimi Safingan menunjukkan pingat yang di menangi kepada keluarga ketika temu ramah di kediamannya di Kampung Sungai pelek Sepang pada 5 Ogos 2026.Foto HARUN TAJUDIN / MEDIA SELANGOR

FAKTA UMUM

  • berasal dari Perancis, dimainkan dengan melontar bola besi (boules) sedekat mungkin dengan jack (penanda sasaran)

  • kedudukan bola yang terdekat dengan jack pula boleh disingkir melalul lontaran pemain lawan

  • matlamat permainan mengumpul mata melalui lontaran bola sehampir mungkin dengan jack berbanding pihak lawan Kedua-dua kaki pemain mesti berada dalam bulatan lontaran sehingga bola dilepaskan.

  • Boleh dimainkan secara perseorangan, berdua sepasukan dan bertiga sepasukan

SEJARAH

  • diperkenal di La Ciotat, selatan Perancis pada 1907

  • nama "petanque" berasal daripada perkataan Perancis iaitu Pieds Tanqués yang bermaksud kedua-dua kaki kekal di tanah ketika melontar

  • berkembang ke seluruh Eropah sebelum tersebar ke Asia, Afrika dan Amerika

  • berkembang di Malaysia sekitar awal 1990-an dan dipertanding pada peringkat SUKMA, Sukan SEA, Kejohanan Asia serta Kejohanan Dunia

TEKNIK ASAS

  • Pointing (Point): Iontar bola supaya berhenti sedekat mungkin dengan 'jack'

  • Shooting (Shoot): lontar bola untuk mengeluarkan bola pihak lawan ○ Half Shot: bola mendarat sedikit di hadapan sasaran sebelum mengenai bola lawan

  • Full Iron Shot (Carreau): bola mengenai terus bola lawan tanpa menyentuh tanah terlebih dahulu. Dianggap teknik paling sukar kerana memerlukan ketepatan tinggi

  • Lob Shot: bola dilontar tinggi sebelum jatuh berhampiran 'jack

JENIS PEMAIN

  • Pointer: Pakar Iontaran bola terhampir dengan jack. Memerlukan sentuhan dan kawalan baik.

  • Shooter: Berperanan singkir bola pihak lawan. Perlukan ketepatan dan kekuatan lontaran.

  • Middle (Milieu): Kuasai kedua-dua teknik tersebut sekali gus pemain paling versatail dalam pasukan

PERKEMBANGAN DI MALAYSIA

  • dipertanding dalam SUKMA sejak tahun 2008

  • Malaysia menang pingat emas di Sukan SEA 2015

  • ramai atlet negara muncul daripada program pembangunan di sekolah, institusi pengajian tinggi serta persatuan negeri

Kategorirencana

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.