Tujuh langkah perkasa mobiliti Selangor perlu disegerakan - EXCO

13 Ogos 2026, 12:18 PM
Tujuh langkah perkasa mobiliti Selangor perlu disegerakan - EXCO

SHAH ALAM, 13 OGOS: Pelaksanaan tujuh langkah bagi memperkukuh sistem mobiliti Selangor perlu disegerakan untuk memastikan rakyat menikmati akses pengangkutan yang lebih selamat, mampu milik dan menyeluruh.

EXCO Mobiliti Ng Sze Han berkata antara langkah itu ialah menambah baik laluan pejalan kaki, menyemak semula laluan Bas Smart Selangor serta menggalakkan penggunaan pengangkutan awam dalam kalangan anak muda.

"Mobiliti ialah keadilan sosial. Akses yang tidak saksama kepada pengangkutan yang selamat dan mampu milik akan memburukkan lagi kemiskinan, memencilkan komuniti serta menyekat kebebasan.

"Oleh yang demikian, Kerajaan Negeri berpandangan tujuh inisiatif memperkasa agenda mobiliti perlu disegerakan," katanya ketika sesi penggulungan Rancangan Selangor Kedua (RS-2) pada Sidang Dewan Negeri Selangor (DNS) hari ini.

Beliau berkata antara langkah utama ialah pembangunan Pusat Mobiliti Negeri Selangor oleh Rantaian Mesra Sdn Bhd (RMSB) sebagai pusat sehenti bagi menyelaras dasar, aduan dan cadangan penambahbaikan berkaitan mobiliti.

"Pusat itu juga akan memanfaatkan data raya mobiliti daripada pihak berkuasa tempatan (PBT), Kerajaan Persekutuan dan sektor swasta bagi tujuan penambahbaikan pada masa akan datang.

"Antara yang akan diberi tumpuan adalah pengintegrasiaan sistem journey Selangor

Integrated Transit System (SITS) dan Aplikasi NINE bersama aplikasi transit yang lain seperti PULSE oleh Prasarana," katanya.

Dalam aspek kemudahan pejalan kaki, Sze Han berkata sepanjang 87 kilometer laluan telah disediakan di seluruh PBT, manakala 35.5 kilometer laluan baharu dicadangkan untuk dibina bagi tempoh 2026 dan 2027.

"Kerajaan Negeri mahu semua PBT melaksanakan audit pejalan kaki di lapangan bagi mengenal pasti isu sebenar, mengalihkan halangan serta menyambung laluan pejalan kaki sedia ada dengan mengambil kira aspek keselamatan dan keselesaan pengguna.

"Keutamaan diberikan kepada laluan pejalan kaki di sekitar sekolah, klinik kesihatan, kemudahan masyarakat dan hab transit," ujarnya.

Beliau berkata Kerajaan Negeri juga akan melaksanakan semakan menyeluruh laluan Bas Smart Selangor yang akan dimuktamadkan tahun ini dengan mengambil kira perkembangan jajaran rel baharu termasuk LRT3 dan Projek Landasan Berkembar Elektrik Lembah Klang Fasa 2 (KVDT2).

"Semakan ini juga akan memastikan kadar kekerapan bas dapat ditambah baik mengikut keperluan lokaliti di PBT masing-masing," katanya.

Dalam pada itu, Sze Han berkata tumpuan turut diberikan kepada golongan muda selepas 65 peratus pengguna sistem Transit Responsif Permintaan (DRT) didapati berusia 35 tahun ke bawah, manakala 33.5 peratus berumur antara 18 hingga 25 tahun.

"Walaupun data ini masih belum matang, kerajaan percaya ia adalah tanda positif anak muda sangat cenderung menggunakan pengangkutan awam.

"Oleh itu, kerajaan mesti menjadi enabler atau lebih tepat, prime mover untuk menggalakkan lagi penglibatan anak muda menggunakan pengangkutan awam melalui insentif seperti insentif subsidi tambang pengangkutan awam (ISTPA)," katanya.

Tambahnya tiga lagi langkah merangkumi semakan semula Garis Panduan Perancangan Negeri bagi beralih daripada pendekatan berorientasikan kenderaan kepada akses pelbagai mod pengangkutan, meningkatkan kerjasama sektor swasta dalam pembangunan ekosistem mobiliti serta memperkasa kepakaran pegawai mobiliti di setiap PBT.

"Semoga dengan tujuh tonggak ini, ia dapat menterjemahkan hasil yang ingin dicapai dalam perancangan RS-2 menjelang 2030, dan rakyat serta kerajaan mula melihat mobiliti dari kaca mata keadilan sosial yang mesti disediakan, bukan sebagai alternatif kepada kenderaan persendirian," katanya.

Kategoriexco

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.