SHAH ALAM, 13 OGOS: Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah menzahirkan ucapan tahniah kepada seorang pegawai Pasukan Khas Laut (PASKAL) atas kejayaan cemerlang semasa mengikuti kursus Sniper Infantry di Shijiazhuang Campus, PLA Infantry Academy, Hebei, China.
Baginda yang juga Kepten Yang Dipertua Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) turut menzahirkan rasa bangga kerana pegawai tersebut berjaya meraih anugerah Excellent Student Awards, sekali gus menjadi penuntut terbaik keseluruhan kursus berkenaan yang berlangsung dari 1 Mac hingga 31 Julai lepas.
“Beta juga mengucapkan tahniah kerana pegawai tersebut turut menerima Certificate of Honors - Excellent Cadre serta Silver Badge Medals berdasarkan pencapaian dalam penilaian kursus.
“Pencapaian terbaik daripada 131 penuntut dari lebih 24 negara merupakan suatu perkara yang harus dibanggakan dan akan menjadi contoh kepada pegawai dan anggota PASKAL yang lain agar berusaha lebih gigih dalam mengharumkan nama pasukan dan negara,” titah baginda dalam satu kenyataan hari ini.
Sultan Sharafuddin dalam kenyataan sama turut menzahirkan ucapan syabas dan tahniah kepada Panglima Tentera Laut Laksamana Tan Sri Dr Zulhelmy Ithnain serta seluruh warga PASKAL dan TLDM kerana telah mengharumkan nama Malaysia.








