KOTA BHARU, 13 OGOS: Polis menahan seorang guru lelaki kerana disyaki memukul seorang pelajar berusia 14 tahun serta menampar ibu pelajar tersebut dalam dua kejadian berasingan di Pasir Mas.
Ketua Polis Daerah Pasir Mas ACP Mazlan Hassan berkata suspek berusia 54 tahun itu ditahan semalam selepas pihaknya menerima laporan daripada ibu mangsa berusia 42 tahun pada hari yang sama.
Beliau berkata kejadian membabitkan pelajar lelaki itu berlaku di sebuah sekolah menengah pada Selasa lepas.
“Pada hari keesokannya (12 Ogos), wanita terbabit pergi berjumpa guru itu untuk berbincang mengenai kejadian tersebut namun guru berkenaan dipercayai menamparnya ketika pertemuan itu.
“Suspek ditahan sebaik sahaja polis menerima laporan dan direman selama tiga hari bermula hari ini bagi membantu siasatan,” katanya kepada Bernama hari ini.
Beliau berkata kes disiasat mengikut Seksyen 324 Kanun Keseksaan kerana dengan sengaja menyebabkan kecederaan menggunakan senjata atau cara berbahaya.
-- BERNAMA







