Polis tahan lelaki tampar pelajar ketika beli roti

28 Mac 2026, 12:05 AM
Polis tahan lelaki tampar pelajar ketika beli roti

SHAH ALAM. 28 MAC: Polis menahan lelaki yang menampar pelajar tingkatan satu dalam kejadian di premis makanan di Stesen LRT Pasar Seni, Selasa lalu.

Ketua Polis Daerah Dang Wangi, Asisten Komisioner Sazalee Adam berkata suspek berusia 48 tahun yang juga seorang penganggur ditahan sepasukan polis di tepi Jalan Masjid India, Kuala Lumpur, kira-kira jam 3.40, semalam.

"Hasil soal siasat mendapati suspek mengaku menampar muka mangsa sehingga jatuh ke lantai kerana berasa marah apabila remaja terbabit mengorek hidung di sebelahnya ketika sedang menunggu giliran.

"Susulan penahanan itu, polis turut merampas pakaian yang dipercayai dipakai suspek ketika kejadian, iaitu sehelai kemeja berwarna putih dan seluar panjang hitam," katanya dalam kenyataan, hari ini.

Beliau berkata, semakan mendapati suspek mempunyai satu rekod jenayah lampau berkaitan kes narkotik.

"Kes berkenaan disiasat mengikut Seksyen 323 Kanun Keseksaan (sengaja mendatangkan kecederaan) dan Seksyen 506 akta yang sama (ugutan jenayah), serta Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia Malaysia (AKMM) 1998 berikutan penularan insiden berkenaan," katanya.

Sebelum ini, rakaman video yang tular menunjukkan mangsa yang memakai baju Melayu datang ke premis berkenaan untuk membeli roti sebelum menuju ke kaunter kerana tiada pelanggan lain beratur, namun secara tiba-tiba ditampar lelaki terbabit.

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.