SHAH ALAM, 26 NOV: Cadangan memansuhkan kejohanan Majlis Sukan Sekolah Daerah (MSSD) dan Majlis Sukan Sekolah Malaysia (MSSM) bukan langkah tepat untuk menangani isu guru tidak hadir ke kelas.
Menteri Pendidikan, Datuk Seri Fadhlina Sidek sebaliknya menegaskan isu berkenaan perlu dimaklumkan kepada pentadbir sekolah supaya tindakan segera dapat diambil, lapor Berita Harian.
“Pembangunan murid perlu dilaksanakan secara holistik, merangkumi kecemerlangan akademik dan pembentukan sahsiah, selaras dengan Falsafah Pendidikan Kebangsaan.
"Kalau ada masalah guru tak masuk ke kelas, boleh maklumkan kepada pentadbir sekolah supaya tindakan segera dapat diambil.
"Menghapuskan MSSD dan MSSM bukanlah penyelesaiannya. Kita nak anak-anak bukan sahaja cemerlang akademik tetapi juga secara holistik. Itulah roh Falsafah Pendidikan Kebangsaan,” katanya menerusi akaun Threads @fadhlinasidek_, hari ini.
Beliau berkata demikian menerusi hantaran balas di Thread selepas seorang pengguna meminta pertimbangan untuk memansuhkan MSSD dan MSSM serta mengehadkan sukan di peringkat sekolah sahaja.
Terdahulu, pengguna media sosial dengan nama deduankekeringan menyuarakan kebimbangan apabila anaknya kerap tidak mengikuti sesi pembelajaran di kelas kerana guru bertugas sebagai jurulatih atau guru pengiring, sehingga silibus didakwa tidak sempat dihabiskan sebelum Ujian Akhir Sesi Akademik (UASA).
Perbincangan di ruangan balas turut menarik perhatian beberapa pengguna lain yang menyentuh mengenai beban tugas guru dan pengurusan kokurikulum.
Pengguna ctnrh08 mendakwa isu ketidakhadiran ke kelas bukan sekadar membabitkan urusan sukan, tetapi juga pertandingan luar, program digital atau kecerdasan buatan (AI), serta pelantikan sebagai ahli jawatankuasa di peringkat Pejabat Pendidikan Daerah (PPD), Jabatan Pendidikan Negeri (JPN) dan Kementerian Pendidikan (KPM).
Sementara itu, pengguna lain, nurulsyafwah mengakui kepentingan Falsafah Pendidikan Kebangsaan, namun meminta supaya kebajikan dan semangat keguruan tidak terjejas akibat isu seperti Melindungi Masa Instruksional (MMI) guru, keselamatan murid serta guru yang menaiki kenderaan sendiri, kos minyak dan tol yang ditanggung sendiri, selain kebergantungan kepada dana Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) bagi makan minum serta penginapan.
Beliau turut memohon supaya KPM membantu memudahkan pelaksanaan sukan supaya tidak menjadi beban tambahan kepada guru.
Beberapa pengguna lain turut mengemukakan cadangan alternatif, antaranya melantik jawatan jurulatih khusus bukan daripada kalangan guru untuk mengendalikan latihan sukan murid, serta menyerahkan urusan kokurikulum dan sukan kepada Kementerian Belia dan Sukan (KBS) atau kelab luar supaya guru dapat memberi tumpuan kepada akademik.






