SHAH ALAM, 22 JAN: KDEB Waste Management (KDEBWM) menganjurkan sesi libat urus bersama Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) dan Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) Selangor bagi memperkukuh pengurusan sisa pepejal di negeri ini.
KDEBWM memaklumkan sesi libat urus yang diadakan semalam itu turut melibatkan penyertaan lebih 1,000 subkontraktor lantikan dari seluruh Selangor.
“Sesi town hall kali ini memberi ruang kepada JPJ dan JIM memberi taklimat serta perkongsian kepada semua subkontraktor KDEBWM berkaitan aspek jalan raya, pengendalian kenderaan komersial, penggajian warga asing dan perkara berkaitan,” katanya menerusi hantaran di Facebook.
Majlis berkenaan turut dihadiri Pengarah Urusan KDEBWM, Datuk Ramli Mohd Tahir; Pengarah JPJ Selangor, Azrin Borhan serta Penolong Pengarah JIM Selangor, Noorzulina Zulkifli.
Menurut KDEBWM, sesi libat urus itu menjadi platform penting untuk mengukuhkan kerjasama antara semua pihak, khususnya dalam menangani isu di lapangan secara terbuka dan berkesan.
Selain itu, katanya, program berkenaan membantu menyeragamkan pemahaman antara pihak terlibat serta memperkasa hubungan kerja antara KDEBWM, JPJ dan JIM.
“KDEBWM komited meneruskan kerjasama strategik ini demi memastikan kualiti perkhidmatan kepada rakyat Selangor sentiasa berada di tahap terbaik,” katanya.


