Mesin jentanam, jentuai bantu tingkat hasil padi

13 Ogos 2026, 4:38 AM
Mesin jentanam, jentuai bantu tingkat hasil padi

SHAH ALAM, 13 OGOS: Penggunaan jentanam dan jentuai akan diperluas dalam sektor pertanian moden sekali gus menjadi pendekatan jangka panjang dalam meningkatkan produktiviti hasil padi.

EXCO Pertanian Dato’ Ir Izham Hashim berkata pihaknya juga berusaha meningkatkan tahap mekanisasi serta menambah baik infrastruktur di kawasan sawah termasuk penanaman benih padi Putra yang dihasilkan Universiti Putra Malaysia.

“Ini selaras dengan Pelan Transformasi Agro Selangor (PeTA). Kerajaan Negeri berpandangan bantuan kewangan atau input semata-mata tidak dapat menjadi penyelesaian jangka panjang sekiranya produktiviti tidak dapat ditingkatkan dan kos pengeluaran tidak dapat dikurangkan.

“Sehubungan itu, keperluan untuk meneruskan atau memperkenalkan bentuk bantuan input kepada pesawah pada masa hadapan akan dinilai dari semasa ke semasa berdasarkan keadaan ekonomi, perubahan kos input pertanian, keperluan pesawah serta kemampuan kewangan,” katanya di sidang Dewan Negeri Selangor (DNS) hari ini.

Izham berkata keutamaan ketika ini adalah untuk memastikan setiap bentuk bantuan disediakan dapat memberi impak secara langsung kepada peningkatan produktiviti, pendapatan pesawah dan pengurangan kos pengeluaran.

“Pada masa sama memastikan pembangunan industri padi Selangor dapat dilaksanakan secara mampan,” katanya.

Tahun lalu, Selangor diumumkan sebagai negeri perintis kajian penanaman padi lima musim dalam tempoh dua tahun (5M2T) menerusi projek percubaan di Sawah Sempadan, Kuala Selangor.

Menurut Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan (KPKM), kajian bersama Institut Penyelidikan dan Kemajuan Pertanian Malaysia (MARDI) serta IADA Barat Laut Selangor itu dilaksanakan antara 2015 hingga 2017 melibatkan kawasan seluas 214.9 hektar dengan penyertaan 141 pesawah.

Kategoriselangor

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.