SHAH ALAM. 13 OGOS: Lapan lelaki yang ditahan berkaitan penemuan mayat seorang lelaki tempatan di kebun kelapa sawit di Banting, Kuala Langat, Ahad lalu direman tujuh hari.
Ketua Polis Daerah Kuala Langat Superintendan Akmalrizal Mohd Radzi berkata lapan individu terdiri warga tempatan dan warga asing itu berusia antara 20 hingga 70-an, lapor Harian Metro.
"Setakat ini, tiada tangkapan baharu dan siasatan lanjut sedang dijalankan," katanya.
Sebelum ini, media melaporkan kecurian peralatan kebun dan buah sawit dipercayai menjadi motif pembunuhan lelaki berusia 49 tahun yang mayatnya ditemui dalam kebun kelapa sawit.
Polis sebelum itu menerima laporan daripada anggota Cawangan Ketenteraman Awam dan Keselamatan Negara (KDNKA) Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kuala Langat bahawa terdapat seorang lelaki ditemui tidak sedarkan diri dalam kebun kelapa sawit itu pada 5 petang.







