SHAH ALAM, 13 OGOS: Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) Selangor melaksanakan kerja nyahkelodak dan pembersihan tebing Sungai Plong, Sungai Buloh bagi meningkatkan kapasiti aliran sungai serta mengurangkan risiko banjir kilat.
EXCO Infrastruktur Dato' Ir Izham Hashim berkata kerja pembersihan itu melibatkan jajaran dari saluran keluar Elmina Business Park hingga Lorong Manggis di Gombak.
Menurut beliau, sebanyak RM100,000 diperuntukkan bagi kerja pembersihan yang dilaksanakan dari 30 Mei hingga 7 Julai lalu.
“Kerja ini akan meningkatkan kapasiti aliran sungai dan mengurangkan risiko limpahan, terutama ketika hujan lebat.
“JPS akan terus memantau keadaan sungai dan melaksanakan kerja penyelenggaraan secara berkala,” katanya pada persidangan Dewan Negeri Selangor (DNS) di sini, semalam.
Beliau berkata demikian ketika menjawab pertanyaan Datuk Dr Ab Halim Tamuri (PN-Paya Jaras) mengenai perkembangan naik taraf Sungai Plong dan perancangan jangka panjang Kerajaan Negeri bagi mengurangkan risiko banjir di kawasan berkenaan.
Izham berkata bagi langkah jangka panjang, Kerajaan Negeri melalui pihak berkuasa tempatan (PBT) menetapkan syarat kebenaran merancang yang mewajibkan pemaju menyediakan kolam takungan bagi projek pembangunan melebihi 10.11 hektar.
Katanya, ketetapan itu selaras dengan Manual Saliran Mesra Alam (MSMA).
Agensi negeri juga akan melaksanakan operasi bersepadu ‘Ops Lumpur’ bagi memantau pematuhan Pelan Kawalan Hakisan dan Kelodak (ESCP) ketika kerja tanah dijalankan.
Dalam pada itu, Izham berkata pemaju kawasan perniagaan berhampiran Sungai Plong turut diwajibkan membina kolam takungan bagi mengawal pelepasan air permukaan dari tapak pembangunan.
Langkah itu bertujuan mengurangkan risiko banjir kilat di kawasan sekitar, khususnya daerah Petaling yang terletak di bahagian hilir Sungai Plong.
Menurutnya, Sungai Plong merentasi dua daerah dengan Gombak di bahagian hulu dan Petaling di hilir, manakala pembangunan komersial berkenaan terletak di bahagian hulu dalam daerah Gombak.







