SHAH ALAM, 12 OGOS: Selangor meneliti untuk melaksanakan gaji wajar minimum RM3,100 sebulan buat kakitangan yang berkhidmat bawah anak syarikat dan syarikat berkaitan kerajaan (GLC) negeri.
EXCO sumber manusia berkata inisiatif itu mengambil kira kebajikan, daya saing organisasi dan kemampanan kewangan bagi memastikan ia dilaksanakan secara bertanggungjawab, berhemat dan mampan.
Menurut V Papparaidu, sebanyak 27.3 peratus anak syarikat Menteri Besar Selangor (Pemerbadanan) (MBI) dan entiti berkaitan negeri menyatakan kesediaan untuk melaksanakan kadar gaji tersebut.
“Manakala 59.1 peratus (anak syarikat) masih belum bersedia dan 13.6 peratus sedang menilai keupayaan pelaksanaannya secara berperingkat atau tertakluk kepada kelulusan lanjut,” katanya.
Beliau menjawab soalan Ahli Dewan Negeri Hulu Kelang Dato’ Seri Mohamed Azmin Ali yang ingin mengetahui Dasar Gaji Wajar Negeri Selangor pada Sidang Dewan Negeri Selangor (DNS), hari ini.
Dalam pada itu, Papparaidu memaklumkan pelaksanaan kadar gaji minimum kepada RM1,700 sebulan yang diselaraskan Kerajaan Negeri selari dasar yang ditetapkan kerajaan persekutuan.
"Kerajaan Negeri turut menjadikan kerangka nasional seperti Dasar Gaji Progresif serta aspirasi pelaksanaan Gaji Wajar Minimum RM3,100 oleh syarikat pelaburan berkaitan kerajaan (GLIC) dan GLC sebagai penanda aras dalam memperkukuh kesejahteraan pekerja,” katanya lagi.
Paras gaji minimum RM3,100 sebulan ditetapkan Kementerian Kewangan menerusi Program Pengaktifan dan Pembaharuan Perusahaan Berkaitan Kerajaan (GEAR-uP) sejak hampir dua tahun lalu.
Setakat Disember 2025, seramai 189,817 atau 91.7 peratus pekerja tetap warganegara Malaysia dalam ekosistem GLIC dan GLC menikmati kadar gaji minimum wajar tersebut.







