SHAH ALAM, 6 DIS: Selangor meluluskan peruntukan untuk membaik pulih siling dan bumbung Sekolah Jenis Kebangsaan Tamil (SJKT) Ladang Batu Ampat, Klang yang runtuh hari ini.
EXCO Sumber Manusia V Papparaidu berkata pentadbiran negeri turut menampung pembaikan kelengkapan pembelajaran yang terjejas selepas mengambil kira keadaan sekolah yang mendesak.
"Kejadian siling runtuh yang berlaku hari ini di SJKT Ladang Batu Ampat amat membimbangkan. Saya segera turun untuk melihat sendiri keadaan yang dilaporkan. Ternyata amat membahayakan," katanya.
Dalam kenyataan hari ini, beliau menegaskan keselesaan dan keselamatan anak-anak yang sedang menuntut ilmu sentiasa menjadi perhatian Kerajaan Negeri.
Turut serta dalam lawatan itu ialah Timbalan Pegawai Pendidikan Daerah Sektor Pembangunan Murid Pejabat Pendidikan Daerah Klang Ahmad Lutfi Mohamed Yazid.