Selangor dijangka jadi negeri pertama catat ekonomi melebihi RM500 bilion

11 Ogos 2026, 12:23 PM
Selangor dijangka jadi negeri pertama catat ekonomi melebihi RM500 bilion

SHAH ALAM, 11 OGOS: Selangor berpotensi mencapai nilai ekonomi RM500 bilion lebih awal daripada sasaran sekali gus muncul sebagai negeri pertama di Malaysia mencatat pencapaian berkenaan.

Dato' Menteri Besar Dato' Seri Amirudin Shari berkata jangkaan itu dikongsikan Timbalan Ketua Perangkawan Malaysia, Wan Mohd Shahrulnizam Wan Mohd Najuri ketika pembentangan prestasi ekonomi Selangor pada penghujung Julai lalu.

"Insya-Allah, berkemungkinan lebih awal daripada sasaran. Selangor bakal menjadi negeri pertama di Malaysia mencatat nilai ekonomi melebihi RM500 bilion," katanya menerusi hantaran di Facebook hari ini.

Beliau berkata pencapaian itu mencerminkan pertumbuhan ekonomi Selangor yang konsisten sejak beberapa tahun kebelakangan ini.

Menurutnya, ketika beliau mula menerajui pentadbiran negeri pada 2018, Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) Selangor bernilai RM322.6 bilion, bersamaan 23.7 peratus daripada keseluruhan ekonomi negara.

"Pada tahun lalu, nilai itu meningkat kepada RM460.1 bilion atau 26.5 peratus daripada ekonomi Malaysia.

"Maknanya, daripada setiap RM10 yang dijana ekonomi negara pada 2018, RM2.37 datang daripada Selangor. Kini, lebih satu perempat ekonomi Malaysia disumbangkan oleh Selangor," katanya.

Amirudin berkata pencapaian itu bukan sekadar angka, sebaliknya mencerminkan hasil usaha pelbagai pihak termasuk rakyat, penjawat awam, usahawan, petani dan golongan belia yang menjadi pemacu kepada pertumbuhan ekonomi negeri.

Beliau berkata asas ekonomi Selangor kini semakin kukuh hasil pelaburan yang berjaya direalisasikan, pelaksanaan dasar yang konsisten serta keyakinan berterusan pelabur terhadap negeri itu.

Menurutnya, sasaran mencapai nilai ekonomi RM500 bilion bukan sekadar penanda aras pertumbuhan, malah menjadi pemangkin untuk terus membangunkan Selangor sebagai negeri yang lebih sejahtera, adil dan inklusif.

"Perjalanan kita belum selesai. Insya-Allah, kita akan terus bekerja keras demi rakyat Selangor," katanya.

Minggu lalu, Amirudin membentangkan RS-2 yang menggariskan enam misi dalam 25 bidang dengan sasaran nilai ekonomi RM600 bilion untuk tempoh 2026 hingga 2030.

Kerajaan Negeri turut menggariskan lima sektor yang akan menjadi tumpuan ke arah 2030 iaitu elektrik dan elektronik, aeroangkasa, automotif, ekonomi digital dan ekonomi kreatif.

Kategorinasional

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.