SHAH ALAM, 15 JAN: Rakyat negeri ini disaran memanfaatkan kemudahan Ambulans Kita Selangor (AKS), iaitu inisiatif Kerajaan Negeri yang menyediakan perkhidmatan ambulans percuma bagi kes bukan kecemasan.
Perkhidmatan itu memberi keutamaan kepada golongan memerlukan, khususnya pesakit yang tidak mampu menanggung kos ambulans swasta atau pengangkutan khas.
Skop AKS meliputi penghantaran dari rumah ke hospital kerajaan dan sebaliknya serta pemindahan antara hospital kerajaan termasuk ke Putrajaya, Kuala Lumpur dan Perak.
“Bagi memohon perkhidmatan ini, pemohon mestilah rakyat Selangor dengan pendapatan isi rumah tidak melebihi RM5,000 sebulan,” menurut kenyataan Kerajaan Negeri hari ini.
Selain itu, pemohon perlu memenuhi kriteria seperti pesakit terlantar yang memerlukan bantuan pergerakan sepenuhnya atau mereka yang memerlukan bekalan gas oksigen sepanjang perjalanan.
Permohonan boleh dibuat menerusi Pusat Khidmat Masyarakat Ahli Dewan Negeri berdekatan. Borang tempahan disediakan melalui lampiran A1 serta kod QR yang boleh diimbas.
EXCO Kesihatan Awam, Jamaliah Jamaluddin berkata, AKS mula dilaksanakan pada 7 November 2025 sebagai sokongan mobiliti pesakit ke hospital bagi janji temu perubatan, rawatan susulan dan rawatan berkala.
“Perkhidmatan ini diwujudkan bagi mengurangkan beban kos pesakit dan memberi akses rawatan berkualiti secara mampan kepada rakyat negeri ini,” katanya.
Jamaliah berkata inisiatif tersebut turut membantu memastikan pesakit kronik tidak terlepas rawatan susulan hanya kerana kekangan pengangkutan.
Kerajaan Negeri komited memperluas akses perkhidmatan kesihatan berkualiti menerusi pendekatan menyeluruh dan berfokus kepada keperluan rakyat.



