SHAH ALAM, 11 OGOS: Majlis Bandaraya Subang Jaya (MBSJ) menerima dua pengiktirafan dalam Majlis Gala Anugerah Industri Pelancongan 2026 (TIA26), sekali gus mengiktiraf usaha berterusan pihak berkuasa tempatan (PBT) itu dalam memperkasakan sektor pelancongan bandar.
Dua pengiktirafan berkenaan ialah Best City Destination Apps Initiative menerusi aplikasi HELO Subang Jaya dan City Tourism Initiative Award, kongsi MBSJ di Facebook.
“Kejayaan itu membuktikan komitmen MBSJ dalam memperkukuh sektor pelancongan bandar melalui penerapan teknologi digital, inovasi serta promosi destinasi Subang Jaya,” katanya.
Sementara itu, Majlis Perbandaran Kuala Selangor (MPKS) turut menerima pengiktirafan Public Service Excellence Recognition sempena 4th Edition WMAM Recognition Awards 2026.
Pengiktirafan berkenaan disampaikan pada WMAM Gala Dinner & Awards Night 2026 yang berlangsung bersempena WMAM Annual Conference 2026 di Genting International Convention Centre (GICC), Resorts World Genting, semalam.
“Pengiktirafan itu diberikan sebagai penghargaan terhadap komitmen, sokongan dan sumbangan MPKS dalam memperkukuh pengurusan sisa pepejal serta pembersihan awam di Malaysia,” maklumnya di Facebook.







