SHAH ALAM, 11 OGOS: Sebanyak 21 Pusat Aktiviti Warga Emas (PAWE) yang menempatkan 5,817 penghuni beroperasi di seluruh negeri Selangor setakat ini.
EXCO Kebajikan Masyarakat Anfaal Saari berkata PAWE berfungsi sebagai pusat aktiviti komuniti bagi warga emas yang menyediakan pelbagai program berbentuk kesihatan, sosial, rekreasi, pembelajaran sepanjang hayat dan kesukarelawanan bagi menggalakkan penuaan aktif serta meningkatkan kesejahteraan warga emas.
“Di kawasan berhampiran DUN Sungai Kandis, terdapat tiga Program Pemulihan Dalam Komuniti (PPDK) yang menyediakan perkhidmatan kepada golongan OKU, iaitu PPDK Manja, PPDK Taman Sri Andalas dan PPDK Kota Raja.
“Dalam DUN Sungai Kandis terdapat PAWE Telok Menegon. Dalam daerah Shah Alam juga terdapat PAWE Setia Alam dan PAWE Paya Jaras,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan Ahli Dewan Negeri Sungai Kandis Wan Dzahanurin Ahmad, sama ada Kerajaan Negeri menyediakan Pusat Aktiviti atau Pusat Komuniti OKU di DUN Sungai Kandis pada Sidang Dewan Negeri Selangor di sini, hari ini.
Pada masa sama, Anfaal memaklumkan Kerajaan Negeri dalam perbincangan untuk mengembangkan model PAWE Sungai Tua yang dioperasikan sepenuhnya oleh Majlis Perbandaran Selayang (MPS) kepada pihak-pihak berkuasa tempatan (PBT) yang lain.
“Kerajaan Negeri sentiasa terbuka untuk bekerjasama dengan JKM, PBT, ADN serta pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dalam mengenal pasti kemudahan awam yang bersesuaian, termasuk dewan orang ramai
“Jika terdapat keperluan dan cadangan yang memenuhi syarat dari segi kesesuaian, keselamatan, aksesibiliti serta mendapat persetujuan pihak berkuasa yang berkaitan.
“Di bawah Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) juga, kita sedang beralih daripada konsep PAWE berpremis tetap kepada konsep PAWE 3A atau
‘Anytime, Anywhere, Anyplace’ untuk memudahkan aktiviti-aktiviti yang lebih bervariasi dilaksanakan untuk lebih ramai kumpulan sasar,” ujarnya lagi.







