EXCO: PAWE bakal diperluas ke setiap kawasan Parlimen, tingkat akses warga emas

22 Ogos 2026, 2:00 AM
EXCO: PAWE bakal diperluas ke setiap kawasan Parlimen, tingkat akses warga emas
EXCO: PAWE bakal diperluas ke setiap kawasan Parlimen, tingkat akses warga emas
EXCO: PAWE bakal diperluas ke setiap kawasan Parlimen, tingkat akses warga emas

SHAH ALAM, 22 OGOS: Pusat Aktiviti Warga Emas (PAWE) bakal diperluas ke setiap kawasan Parlimen di Selangor bagi meningkatkan akses golongan itu kepada aktiviti komuniti dan sokongan sosial.

EXCO Kebajikan Masyarakat Anfaal Saari berkata Kerajaan Negeri turut berhasrat memperluas fungsi PAWE menerusi konsep Pusat Kesejahteraan dan Penjagaan Sementara (Respite Care Wellness Hub), selain menggalakkan pihak berkuasa tempatan (PBT) mewujudkan pusat berkenaan di kawasan pentadbiran masing-masing.

“Pendekatan ini telah dimulakan, antaranya seperti yang dilaksanakan oleh Majlis Perbandaran Selayang,” katanya dalam kenyatan bertulis kepada Media Selangor berhubung kebajikan warga emas dalam Rancangan Selangor Kedua (RS-2).

Menurut Anfaal, PAWE di bawah Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) kini sudah diwujudkan di setiap daerah di negeri ini.

Bagaimanapun, beliau berkata PAWE di peringkat PBT masih dalam fasa rintis dan jumlah keseluruhan pusat yang akan ditubuhkan pada masa hadapan belum dapat ditentukan buat masa ini.

EXCO Kebajikan Masyarakat, Anfaal Saari. Foto ADIBAH IZAM/MEDIA SELANGOR

Terdahulu, Anfaal memaklumkan terdapat 21 PAWE di seluruh Selangor yang memberi perkhidmatan kepada 5,817 warga emas.

Menurutnya, PAWE menyediakan pelbagai aktiviti kesihatan, sosial, rekreasi, pembelajaran sepanjang hayat serta khidmat sukarelawan bagi menggalakkan penuaan aktif dan meningkatkan kesejahteraan hidup warga emas.

Usaha memperkukuh kebajikan warga emas turut diberi perhatian menerusi RS-2 yang dibentangkan Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari di Dewan Negeri Selangor pada 7 Ogos lalu.

RS-2 merangkumi enam misi, 25 bidang dan 98 inisiatif termasuk Misi Ketiga, ‘Negeri Penyayang dan Layak Huni’.

Menerusi misi berkenaan, Kerajaan Negeri memberi perhatian kepada ekonomi penjagaan kanak-kanak dan warga emas serta pengukuhan rangkaian perlindungan sosial menerusi antaranya Skim Khairat Kematian (KDE), Skim Mesra Selangor dan Iltizam Emas Selangor.

Kategoriexco

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.