SHAH ALAM, 21 APRIL: Kerajaan Selangor akan memperkenalkan garis panduan Pusat Aktiviti Warga Emas bagi membantu golongan itu kekal aktif dan mengurangkan risiko penyakit kronik seperti diabetes, hipertensi dan kolestrol tinggi.
EXCO Kebajikan Masyarakat Anfaal Saari berkata garis panduan berkenaan dijangka berkuat kuasa tahun ini dan akan dilaksanakan di semua pihak berkuasa tempatan (PBT).
“Kita sedia maklum dapatan daripada Kementerian Kesihatan (KKM) bahawa 30 peratus warga emas mempunyai ketiga-tiga penyakit kronik ini. Bagi program saringan kesihatan warga emas bermula tahun lepas dan dibawah EXCO Kesihatan Jamaliah Jamaluddin.
“Biarpun advokasi kehidupan sihat warga emas di bawah KKM, Kerajaan Negeri menyokong aktiviti untuk golongan itu termasuk yang dijalankan di PAWE.
“Namun, Selangor menyasarkan untuk mengeluarkan garis panduan pusat aktiviti warga emas di setiap PBT pada tahun ini,” katanya kepada Media Selangor.

Menurutnya, usaha itu penting susulan kadar penyakit kronik dalam kalangan warga emas yang semakin membimbangkan.
Terdahulu, dapatan Tinjauan Kebangsaan Kesihatan dan Morbiditi (NHMS) 2025: Kesihatan Warga Emas menunjukkan 39 peratus golongan itu menghidap diabetes, manakala 73 peratus mengalami tekanan darah tinggi.
Selain itu, 76 peratus direkodkan mempunyai paras kolesterol tinggi, manakala 68 peratus mempunyai sekurang-kurangnya dua daripada tiga penyakit kronik berkenaan.
Malah, 30 peratus warga emas dilaporkan menghidap ketiga-tiga penyakit tersebut.
Data sama turut menunjukkan 30.6 peratus warga emas tidak aktif secara fizikal, manakala 12.8 peratus terlibat dalam tingkah laku sedentari yang tinggi.









