AKSES jadi platform sehenti permohonan bantuan Selangor

11 Ogos 2026, 4:13 AM
AKSES jadi platform sehenti permohonan bantuan Selangor

SHAH ALAM, 11 OGOS: Sistem Aplikasi KitaSelangor Sepadu (AKSES) dibangunkan sebagai platform sehenti yang menghimpunkan pelbagai inisiatif bantuan bawah Iltizam Selangor Penyayang (ISP).

EXCO kebajikan masyarakat berkata pendekatan itu bagi mengurangkan keperluan urusan kaunter, mempercepat proses permohonan serta meningkatkan kecekapan penyampaian perkhidmatan negeri.

Menurut Anfaal Saari, kerjasama turut melibatkan agensi pelaksana dan pusat khidmat masyarakat Dewan Undangan Negeri bagi membantu rakyat kurang mahir atau akses terhad kepada kemudahan digital.

“Melalui sistem ini, rakyat boleh mendapatkan maklumat, membuat pendaftaran, mengemukakan permohonan serta menyemak sistem permohonan bantuan secara dalam talian melalui satu platform bersepadu yang lebih tersusun dan mesra pengguna,” katanya.

Beliau menjawab soalan wakil rakyat Dengkil Datuk Seri Jamil Salleh berhubung langkah negeri mempermudah permohonan bantuan kebajikan masyarakat kepada golongan fakir dan miskin dalam persidangan Dewan Negeri Selangor (DNS), hari ini.

Dalam pada itu, Anfaal berkata siri jelajah diadakan seluruh negeri bagi memperkenal inisiatif kerajaan menerusi Jelajah Wanita Berdaya Tahan, Jelajah Ceria Selangor dan Karnival Ceria Selangor.

Katanya, pelancaran Rakan Penjagaan Selangor juga pada fasa akhir untuk menjalankan aktiviti turun padang termasuk menziarahi golongan memerlukan serta memadankan mereka dengan bantuan bersesuaian.

Sistem berkenaan boleh diakses menerusi pautan akses.selangor.gov.my untuk menyemak kelayakan, membuat permohonan secara dalam talian serta mendapatkan maklumat terkini inisiatif negeri.

Kategoriexco

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.