KUALA LANGAT, 11 OGOS: Polis menahan lapan individu bagi membantu siasatan kes seorang lelaki yang ditemukan maut dipercayai akibat dibunuh di kebun kelapa sawit di Sungai Kelambu, Banting di sini, Ahad lepas.
Ketua Polis Daerah Kuala Langat Supt Mohd Akmalrizal Radzi berkata kesemua suspek termasuk warga asing berusia 20 hingga 60 tahun itu ditahan bagi membantu siasatan di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan.
“Pada 9 Ogos sekitar 5 petang, polis menerima laporan anggota bertugas terdapat seorang warganegara tempatan berusia 49 tahun ditemui tidak sedarkan diri dalam kebun kelapa sawit berkenaan,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Sehubungan itu, Akmalrizal turut memohon kerjasama orang ramai yang mempunyai maklumat untuk hadir ke balai polis berhampiran atau menghubungi Bilik Gerakan Ibu Pejabat Polis Daerah Kuala Langat di talian 03-3187 2222.
Beliau berkata perintah reman tujuh hari hingga 17 Ogos ini dikeluarkan Majistret Maslinda Selamat ke atas semua suspek.






