SEPANG, 10 OGOS: Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) di Selangor perlu terus menambah baik sistem penyampaian khususnya membabitkan urusan kelulusan dan permohonan bagi memastikan perkhidmatan kepada rakyat lebih berkesan.
Setiausaha Kerajaan Negeri Dato’ Dr Ahmad Fadzli Ahmad Tajuddin berkata penambahbaikan itu selari dengan Misi 6 Rancangan Selangor Kedua (RS-2) yang memberi penekanan terhadap keberkesanan dan kecekapan sistem penyampaian PBT.
"Kita tengok jabatan ini dah buat macam-macam tapi pasal orang awam, ada jurang. Contohnya tentang inisiatif tertentu, kita rasa sistem penyampaian boleh diperbaiki lagi.
"Contoh ada orang nak mohon lesen, dia punya mentaliti biasanya yang tak boleh sahaja. Itu akan jadi negatif. Sekarang ini apa yang boleh? Permudahkan. Kalau tak boleh, kena ada penyelesaian," tegasnya.

Beliau ditemui pada Majlis Penutup Larian Obor SUKMA 2026 bersempena Hari Tanpa Kenderaan Majlis Perbandaran Sepang dan Himpunan Mega Sukarelawan SUKMA dan Para SUKMA Selangor 2026 di Litar Antarabangsa Sepang (SIC) di sini, semalam.
Beliau berkata, penambahbaikan sistem penyampaian perlu meliputi pelbagai urusan termasuk permohonan lesen, urusan dengan pemaju, bayaran serta kompaun.
Katanya, usaha mempercepat dan memudahkan proses berkenaan perlu dilaksanakan secara lebih agresif walaupun penambahbaikan sebelum ini sudah dilakukan.
"Sekurang-kurangnya kita dapat gerakkan dalam lima atau 10 peratus daripada sedia ada. Saya harap dengan RS-2 ini sistem penyampaian, kelulusan dan sebagainya dipertingkat lagi," katanya.
Menurutnya, sistem penyampaian yang lebih cekap juga penting bagi mengurangkan ruang berlakunya rasuah atau penggunaan pihak ketiga untuk memudahkan sesuatu urusan.
Beliau berkata, proses yang terlalu sukar boleh mendorong pihak tertentu mencari jalan mudah, sekali gus menjejaskan usaha membina sistem pentadbiran yang telus.
Dalam pada itu, Ahmad Fadzli berkata, aspek komunikasi antara PBT dengan rakyat juga perlu dipertingkatkan bagi mengelakkan salah faham terhadap sesuatu keputusan atau tindakan yang diambil.
"Satu, PBT pun kena 'improve' dari segi sistem penyampaian dan komunikasi. Kedua, orang awam pun kena faham dari segi kita punya kekangan.
"Ada perkara yang kita tak boleh nak selesaikan dalam tempoh singkat kerana melibatkan dasar Kerajaan Negeri atau Kerajaan Persekutuan. Kita tak nak A salahkan B, B salahkan C," katanya.
Ahmad Fadzli turut menegaskan kejayaan PBT bukan diukur berdasarkan jumlah anugerah yang diterima, sebaliknya melalui perubahan dan penambahbaikan sistem penyampaian secara berterusan.
"Itu bukan tujuannya. Tujuan kita adalah untuk tambah baik dari masa ke masa. Benda tu progresif, dia nak (kena) ada jiwalah," katanya.











