Pekerja kontrak maut terjatuh dalam tangki air sedalam 10 meter

10 Ogos 2026, 12:34 AM
Pekerja kontrak maut terjatuh dalam tangki air sedalam 10 meter

SHAH ALAM, 10 OGOS: Seorang pekerja kontrak maut selepas dipercayai terjatuh ke dalam tangki penyimpanan air sedalam 10 meter (m) ketika melakukan kerja penyelenggaraan di Kuala Langat Power Plant, Banting, malam tadi.

Mangsa, Mohd Farhan Syazwan, 34, ditemukan kira-kira jam 4 pagi tadi selepas operasi mencari dan menyelamat dijalankan Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Selangor.

Penolong Pengarah Operasi Negeri JBPM Selangor Ashrul Riezal Ashbar berkata pihaknya menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian pada jam 7.26 malam.

Menurutnya, sepasukan anggota dan pegawai dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Banting bersama Unit Pasukan Penyelamat Di Air (PPDA) dari BBP KLIA dan BBP Pelabuhan Klang digerakkan ke lokasi.

"Komander operasi memaklumkan, mangsa bersama rakan sekerjanya ketika itu melakukan kerja penyelenggaraan bagi menggantikan kayu di bahagian menara penyejuk (coolant tower).

"Rakan mangsa kemudian keluar dari lokasi berkenaan untuk mengambil kayu dan kembali kira-kira 15 minit kemudian sebelum mendapati mangsa sudah tiada.

"Pada awalnya, rakan mangsa menyangka dia mungkin pergi ke tandas, namun mula mengesyaki mangsa terjatuh selepas tidak muncul sebelum memaklumkan perkara itu kepada penyelia. Pemeriksaan dilakukan dan mendapati mangsa hilang," katanya dalam kenyataan hari ini.

Ashrul Riezal berkata pasukan penyelamat terlebih dahulu mengosongkan kolam pertama, namun gagal menemukan mangsa.

Menurutnya, operasi kemudian diteruskan dengan mengosongkan kolam kedua yang mempunyai kedalaman 10m sebelum mangsa ditemukan kira-kira jam 4 pagi.

"Anggota turun ke dalam kolam berkenaan dan membawa mangsa naik ke permukaan dan mangsa disahkan meninggal dunia di lokasi sebelum diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan lanjut.

"Operasi mencari dan menyelamat ditamatkan pada 5.05 pagi," katanya.

Kategorinasional

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.