SHAH ALAM, 15 SEPT: Aktiviti pendakian sekumpulan pelajar Tingkatan Enam di Hutan Simpan Ulu Tamu, Batang Kali bertukar tragedi apabila lelaki yang mengetuai mereka meninggal dunia selepas pengsan, semalam.
Penolong Pengarah Bahagian Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Selangor, Ashrul Riezal Asbar berkata sepasukan empat anggota bersama jentera dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Kuala Kubu Bharu dikejarkan ke lokasi kejadian.
"Mangsa warga tempatan berusia 60 tahun pengsan ketika mengetuai pelajar Tingkatan Enam yang melakukan aktiviti pendakian.
"Lelaki itu disahkan meninggal dunia oleh pihak Kementerian Kesihatan," katanya dalam kenyataan hari ini.
Menurut Ashrul Riezal, anggota bomba kemudian menjalankan operasi membawa turun mangsa dari lokasi kejadian.
Katanya, mayat mangsa seterusnya diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan lanjut.







