SHAH ALAM, 11 OGOS: Pihak berkuasa tempatan (PBT) perlu lebih proaktif menangani isu setempat, terutama yang membabitkan keselamatan pengguna, tanpa menunggu aduan tular hingga mendapat perhatian pimpinan tertinggi.
Aktivis jalan raya dan pengangkutan mampan Shahrim Tamrin berkata masalah seperti jalan berlubang sewajarnya dapat dikesan lebih awal oleh PBT, Ahli Majlis dan Jawatankuasa Penduduk (JKP) sebelum menjadi lebih serius.
"Masalah ini sebenarnya tidak memerlukan perhatian Dato’ Menteri Besar. Ia hanya memerlukan perhatian dan kepekaan Ahli Majlis, Jawatankuasa Penduduk dan kakitangan Majlis Perbandaran Ampang Jaya (MPAJ).
"Saya mengharapkan PBT lebih proaktif dalam hal ini," katanya ketika dihubungi Media Selangor.
Beliau berkata demikian ketika mengulas isu jalan berlubang di Jalan Taman Melawati 3 yang mendapat perhatian Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari selepas perkara itu dibangkitkan menerusi media sosial.
Menurut Shahrim, kerosakan di lokasi berkenaan dikesan sejak kira-kira tiga hingga empat minggu lalu, bermula dengan rekahan kecil sebelum keadaan semakin teruk apabila lubang bertambah, semakin dalam dan panjang.

"Keadaan ini membimbangkan kerana lokasi berkenaan berada di kawasan berbukit dan selekoh, selain kurang pencahayaan. Ia boleh mendatangkan risiko kepada pengguna, khususnya penunggang motosikal dan basikal," katanya.
Susulan itu, Shahrim mencadangkan audit keselamatan jalan raya secara menyeluruh dilakukan di laluan berkenaan bagi mengenal pasti tahap keselamatan dan faktor yang boleh mendatangkan risiko kepada pengguna.
Menurutnya, penelitian perlu mengambil kira keadaan laluan termasuk kawasan berbukit, selekoh, tahap pencahayaan dan sistem saliran, selain faktor yang boleh mendorong pengguna memandu laju.
Beliau berkata lokasi yang kerap mengalami kerosakan juga perlu diteliti bagi mengenal pasti punca sebenar supaya penyelesaian jangka panjang dapat dilaksanakan berbanding sekadar tampalan sementara.
"Saya harap pasukan jurutera MPAJ melihat semula selekoh itu kerana saya khuatir masalah ini akan berulang.
"Keadaan aliran air di situ mungkin menyebabkan lubang kembali berlaku kerana kawasan itu berbukit dan terdapat banyak rekahan pada jalan," katanya.
Shahrim berkata pada peringkat awal beliau menjangkakan kerosakan berkenaan akan disedari pihak berkaitan, namun mengambil keputusan mengetengahkannya menerusi media sosial selepas keadaan semakin serius.
"Saya nampak rekahan itu semakin dalam dan panjang. Saya fikir kalau saya seorang nampak, mesti ramai lagi yang nampak.
"Saya tahu Ahli Majlis Zon 1 MPAJ, JKP dan beberapa kakitangan MPAJ tinggal di Taman Melawati. Pada mulanya saya fikir tidak perlu mengambil gambar atau membangkitkan perkara itu kerana yakin mereka akan menyedarinya.

"Tetapi apabila keadaan semakin teruk, saya fikir ia tidak boleh dibiarkan dan memerlukan tindakan segera. Disebabkan kecewa, saya akhirnya membangkitkan masalah itu di media sosial,” ujarnya.
Menurutnya, masyarakat juga boleh memanfaatkan media sosial untuk mengetengahkan isu setempat dengan menandakan Ahli Dewan Negeri (ADN) atau Ahli Parlimen di kawasan masing-masing supaya perkara berkenaan mendapat perhatian dan tindakan PBT dapat disegerakan.
Terdahulu, hantaran Shahrim mengenai Jalan Taman Melawati 3 mendapat perhatian Amirudin yang memaklumkan perkara berkenaan kepada pegawai PBT untuk tindakan segera sebelum kerja pembaikan dilaksanakan pada malam sama dan diteruskan keesokan harinya.
"Saya bernasib baik Dato’ Seri Menteri Besar menyedari hantaran saya di Threads dan mengambil perhatian terhadap perkara itu," tambahnya.
Shahrim menghargai perhatian serta tindakan segera berkenaan, namun berpandangan isu sedemikian sewajarnya dapat ditangani di peringkat PBT tanpa memerlukan campur tangan Dato’ Menteri Besar.
Beliau turut mencadangkan rondaan berkala dilaksanakan bagi memantau keadaan jalan supaya kerosakan dapat dikenal pasti dan ditangani lebih awal.
"Jika ada perkara penting, masyarakat boleh membuat aduan menerusi media sosial, tetapi janganlah sampai kita mengharapkan Dato’ Menteri Besar melakukan ‘micro management’ atau memberi perhatian kepada perkara kecil seperti ini.
"PBT sepatutnya menjalankan tugas dengan baik dan mengambil tindakan lebih awal," katanya.
Terdahulu, Amirudin menggesa PBT dan agensi kerajaan lebih responsif terhadap aduan rakyat di media sosial serta mengambil tindakan segera tanpa perlu menunggu laporan rasmi.
Beliau berkata pendekatan itu perlu menjadi sebahagian perubahan dalam penyampaian perkhidmatan kerajaan memandangkan media sosial kini menjadi antara saluran utama masyarakat menyuarakan masalah setempat.








