SHAH ALAM, 9 OGOS: Perbadanan Kemajuan Negeri Selangor (PKNS) menganjurkan program PKNS Group Mingle Walk sempena sambutan ulang tahun ke-62 agensi itu pada 1 Ogos lalu, dalam usaha memperkukuh hubungan sesama warga kerja selain menggalakkan gaya hidup sihat.
Program yang disertai kira-kira 700 peserta terdiri daripada kakitangan PKNS dan anak syarikat itu melibatkan aktiviti berjalan santai sejauh 2.8 kilometer, bermula dan berakhir di Galeria SA Sentral, di sini.
Pengurus Besar Kanan Perkhidmatan Korporat PKNS, Sapna Turmidi berkata program yang diperkenalkan sejak tahun lalu itu bukan sahaja memberi ruang kepada warga Kumpulan PKNS untuk melakukan aktiviti sihat bersama, malah mengeratkan hubungan antara kakitangan dan rakan strategik.

“Kita libatkan semua kakitangan PKNS dan anak syarikat. Ada juga yang membawa ahli keluarga untuk bersama-sama dalam program ini. Secara tidak langsung, semua dapat saling mengenali antara satu sama lain.
“Ini akan memberi kesan positif kepada gerak kerja dalam memperkukuhkan lagi PKNS. Program ini membolehkan semua warga PKNS bekerjasama dalam satu kumpulan,” katanya kepada Media Selangor.

Program dimulakan dengan sesi senaman ringan seawal 7.30 pagi yang turut disertai Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan PKNS, Dato' Mahmud Abbas. Turut serta, Yang Dipertua Pertubuhan Kebajikan dan Amal Wanita Selangor (PEKAWANIS), Datin Seri Masdiana Muhamad.
Peserta melalui laluan Persiaran Perbandaran, Persiaran Tasik, Persiaran Dato’ Menteri dan Persiaran Damai sebelum kembali ke lokasi penamat.

Sepanjang laluan, peserta berpeluang melihat beberapa projek pembangunan dan peremajaan bandar raya Shah Alam termasuk Plaza Perangsang yang ditransformasi menjadi Hotel Grand Mercure, SACC Mall, Kompleks PKNS Shah Alam dan Shah Alam Convention Centre (SACC).
Dalam pada itu, PKNS kini giat menaik taraf infrastruktur pejalan kaki di sekitar kawasan terbabit termasuk laluan di Jalan Majlis dan Persiaran Dato’ Menteri bagi meningkatkan keselesaan serta keterhubungan di kawasan pusat bandar.

Menurut Sapna, kemeriahan program turut diserikan dengan jamuan selepas peserta menamatkan perjalanan, termasuk penyediaan 10 gerai oleh anak syarikat PKNS yang menawarkan pelbagai makanan dan minuman secara percuma seperti nasi lemak, cendol, aiskrim, kopi dan laksam.
“Selepas sampai ke garisan penamat, peserta dijamu pelbagai jenis makanan dan minuman. Terdapat 10 gerai dibuka oleh anak syarikat PKNS yang menawarkan secara percuma antaranya aiskrim, kopi dan laksam,” katanya.

Menurutnya, meskipun program berkenaan baru memasuki tahun kedua penganjuran, sambutan yang diterima amat menggalakkan dan menjadi dorongan untuk meneruskannya pada masa akan datang.
“Dari tahun lalu kita nampak semua peserta begitu teruja. Ada yang membawa keluarga dan anak-anak untuk menyertai aktiviti sihat ini. Selain dapat berjumpa rakan sekerja, ia juga mengeratkan hubungan kekeluargaan,” katanya.
Sementara itu, sempena sambutan ulang tahun ke-62 PKNS, pelbagai program turut disusun sepanjang bulan ini, termasuk program tanggungjawab sosial korporat (CSR) Ziarah Kasih ke Institut Kanser Negara (IKN), Putrajaya bagi menyantuni pesakit kanser serta menyampaikan sumbangan kepada institusi berkenaan.
“Sepanjang bulan ini, pelbagai pengisian telah disusun. Antara yang utamanya juga ialah Majlis Doa Selamat dan Kesyukuran yang merupakan acara tahunan dan telah dianjurkan semalam,” katanya.










