Pakar: Sasaran ekonomi RS-2 boleh dicapai seiring kekuatan negeri

10 Ogos 2026, 1:00 AM
Pakar: Sasaran ekonomi RS-2 boleh dicapai seiring kekuatan negeri

SHAH ALAM, 10 OGOS: Rancangan Selangor Kedua (RS-2) boleh mencapai sasaran ekonomi melalui pelaksanaan kukuh dan model pembiayaan berstruktur yang memanfaatkan sumber sektor awam dan swasta.

Pensyarah Universiti Teknologi Petronas, Samirul Ariff Othman berkata keperluan RS-2 wajar dilihat sebagai program pembangunan pembiayaan campuran (blended finance) melibatkan kerajaan negeri, kerajaan persekutuan, anak syarikat negeri dan sektor swasta.

Katanya, pendekatan itu membantu Selangor menggembleng sumber di luar kebiasaan hasil negeri selain memastikan pembangunan kekal mampan dari segi kewangan dan memberi pulangan jangka panjang.

“Perbezaan itu sangat penting. Unjuran hasil Selangor untuk 2026 hanya RM2.8 bilion berbanding perbelanjaan RM3.23 bilion, sekali gus menghasilkan defisit RM430 juta yang dibiayai menerusi baki terkumpul,” katanya kepada Media Selangor.

Beliau berkata struktur pembiayaan itu munasabah asalkan ada pemisahan jelas antara projek yang dibiayai hasil biasa negeri, projek berdaya saing (dibiayai syarikat berkaitan kerajaan) atau modal swasta dan projek yang memerlukan pembiayaan Kerajaan persekutuan.

“Kerjasama awam-swasta tidak sepatutnya hanya mengubah perbelanjaan awam hari ini menjadi liabiliti tersembunyi pada masa depan,” katanya lagi.

Menurut Samirul Ariff lagi, GLC juga tidak sepatutnya diminta menanggung projek yang tidak menguntungkan semata-mata bagi mengelak imbangan (balance sheet) negeri terjejas.

Sebaliknya, beliau berkata fokus jangka panjang perlu tertumpu kepada usaha menjadikan pelaburan negeri mampu dibiayai melalui pertumbuhan ekonomi dan kenaikan produktiviti aset.

Pertumbuhan logik

Mengenai sasaran RS-2 untuk membesarkan ekonomi Selangor kepada RM600 bilion menjelang tahun 2030, Samirul menjelaskan sasaran berkenaan sebenarnya mencabar tetapi ia boleh dicapai.

Beliau memberitahu Selangor memerlukan kadar pertumbuhan tahunan sekitar 5.45 peratus daripada RM460.1 bilion pada tahun 2025 untuk mencapai hasrat tersebut.

RS-2 menetapkan sasaran pertumbuhan kira-kira 6.1 peratus setahun. Jika angka itu kekal sepanjang lima tahun, ekonomi negeri boleh mencapai RM619 bilion menjelang 2030.

“Oleh itu, secara matematik, RM600 bilion bukanlah satu sasaran lonjakan yang tidak realistik,” kata Samirul Ariff.

Namun, beliau mengingatkan tumpuan tidak harus berpandu kepada angka ekonomi sahaja tetapi perlu memastikan pertumbuhan menghasilkan produktiviti lebih tinggi, gaji lebih baik, rangkaian pembekal tempatan lebih kukuh dan keupayaan teknologi semakin baik.

“Cabaran yang lebih sukar adalah memastikan ia menjadi ekonomi berproduktiviti tinggi bernilai RM600 bilion, bukannya sekadar ekonomi bersaiz lebih besar,” katanya.

Lima sektor utama dalam RS-2 juga dianggap pilihan yang seiring kekuatan negeri iaitu memiliki infrastruktur industri, rangkaian logistik, tenaga kerja mahir dan kedudukannya berhampiran KLIA dan Pelabuhan Klang.

“Oleh itu, sektor keutamaan perlu dilihat sebagai pemacu pertumbuhan (growth accelerators) dan bukannya keseluruhan enjin ekonomi,” katanya.

Beliau berkata Selangor juga boleh memaksimumkan faedah pelaburan semikonduktor dengan melangkaui aktiviti pemasangan dan pembuatan ke arah reka bentuk litar bersepadu, pembungkusan termaju, penyelidikan dan pembangunan (R&D) serta perkhidmatan kejuruteraan.

Perbandingan

Dalam perbandingan dengan Rancangan Selangor Pertama (RS-1), Samirul berkata RS-2 lebih selektif dari segi ekonomi, lebih berfokus mengikut geografi dan memberi penekanan besar kepada modal insan dan reformasi institusi.

“RS-1 dikira agak berjaya sebagai kerangka pembangunan menyeluruh, namun pelaksanaannya terutama projek yang memacu transformasi ekonomi lebih sukar berbanding mereka bentuk program itu sendiri,” katanya.

Dalam RS-1, sebanyak 184 daripada 282 projek, program dan inisiatif bawah RS-1 berjaya disiapkan. Keseluruhan pelaksanaan pula pada kadar 79.11 peratus.

Samirul menjelaskan RS-2 juga boleh memanfaatkan pengalaman RS-1 dengan memberi penekanan lebih besar kepada hasil yang boleh diukur dan memantau kemajuan melalui petunjuk lebih jelas.

Beliau juga tertarik dengan konsep “tiada daerah yang tersicir” dalam RS-2 dengan menyeimbang pembangunan dengan setiap daerah berdasarkan kekuatan masing-masing, bukannya mengulangi industri sama di seluruh negeri.

“Matlamatnya adalah peluang pembangunan yang saksama, bukannya struktur ekonomi yang serupa,” katanya sambil memetik sektor pertanian dan teknologi agro di Sabak Bernam, aeroangkasa dan logistik di Sepang, serta industri maritim dan berkaitan pelabuhan di Klang sebagai contoh.

Mengenai kepelbagaian hasil, Samirul berkata langkah mengurangkan kebergantungan terhadap premium tanah dan cukai tanah disifatkan pendekatan yang munasabah ekoran kira-kira 75 peratus daripada hasil semasa negeri terikat dengannya.

Dokumen RS-2 menyatakan sumber hasil baharu untuk memperkukuh daya tahan fiskal Selangor merangkumi dividen GLC, kadar cukai atau caj khas bagi industri dan aktiviti terpilih, serta pulangan lebih tinggi daripada aset dan hartanah milik negeri.

Beliau menyokong pulangan lebih tinggi daripada GLC dan aset negeri serta pembiayaan inovatif tetapi mengingatkan cukai khusus sektor tidak dikenakan ke atas industri strategik kerana ia boleh menjejaskan daya saing pelaburan.

“Prinsipnya sepatutnya: kenakan cukai ke atas sewa ekonomi (economic rents) dan kesankesan luaran negatif (negative externalities), bukannya ke atas pelaburan produktif,” katanya.

Kategoriselangor

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.