SHAH ALAM, 10 OGOS: Persatuan Pengguna Pengangkutan Awam Malaysia (4PAM) menyarankan pendekatan tegas bagi menggalakkan orang ramai menggunakan pengangkutan awam kepada 60 peratus menjelang tahun 2030.
"Langkah lebih tegas diperlukan termasuk pelaksanaan lorong bas khas dengan penguatkuasaan ketat, caj kesesakan di bandar serta rasionalisasi subsidi bahan api bagi mengurangkan kebergantungan berlebihan terhadap kenderaan persendirian,” kata Presidennya, Ajit Johl.
Beliau juga menegaskan sistem itu juga mesti selamat, boleh dipercayai dan berintegrasi dengan baik bagi menggalakkan pengguna kenderaan persendirian beralih kepada pengangkutan awam.
"Perundangan juga perlu diperkukuh bagi melindungi hak pengguna, memastikan piawaian keselamatan sentiasa dipatuhi serta meningkatkan penguatkuasaan terhadap penyedia perkhidmatan yang gagal mematuhi peraturan," katanya kepada Media Selangor.
Menurut Ajit, pengguna mementingkan perkhidmatan yang menepati masa, bersih dan selesa selain kelancaran perkhidmatan rel, bas dan pengangkutan lain dan disokong maklumat perjalanan masa nyata serta tambang berpatutan.
Katanya, cadangan membina laluan berbumbung pejalan kaki berhampiran stesen rel dalam Rancangan Selangor Kedua (RS-2) berupaya menggalakkan orang ramai menggunakan pengangkutan awam dan mengurangkan penggunaan kenderaan persendirian bagi perjalanan jarak dekat.
Namun, beliau mengingatkan penyelarasan antara pihak berkuasa tempatan, faktor peruntukan dan penyelenggaraan yang konsisten penting bagi memastikan inisiatif tersebut mencapai kejayaan.
Katanya lagi, keselamatan pejalan kaki perlu kekal sebagai keutamaan dengan menyediakan kemudahan pencahayaan yang mencukupi, liputan kamera litar tertutup (CCTV) dan rondaan keselamatan.
Pengarah Urusan MDS Consultancy Group Rosli Azad Khan pula berkata sasaran untuk meningkatkan bilangan pengguna pengangkutan awam hanya berlaku jika perancangan tidak terhad kepada infrastruktur rel semata-mata, sebaliknya meliputi keseluruhan liputan perjalanan pengguna.
"Keutamaan perlu diberi kepada penyelesaian masalah kesalinghubungan batuan pertama dan terakhir dengan memastikan setiap stesen ada laluan pejalan kaki berbumbung yang selamat, laluan berbasikal serta perkhidmatan bas pengantara yang kerap," katanya.
Rosli berkata perkhidmatan bas perlu diberi keutamaan dengan menyediakan lorong khas di jalan raya dan lebuh raya utama kerana daya tarikan bas sebagai pengangkutan pilihan merosot jika terperangkap dalam kesesakan seperti kenderaan persendirian.
Katanya, pengguna akhirnya mengutamakan sistem yang mudah, pantas dan boleh dipercayai dengan kekerapan perkhidmatan yang tinggi, sistem tiket bersepadu dan hubungan lancar antara bas dan perkhidmatan rel.
"Jika pengguna yakin tren tiba mengikut jadual dan bas pengantara tersedia apabila mereka tiba di stesen, mereka akan lebih bersedia meninggalkan kereta di rumah," katanya.








