Pakar ekonomi: Kestabilan politik penting untuk capai sasaran RS-2

11 Ogos 2026, 1:00 AM
Pakar ekonomi: Kestabilan politik penting untuk capai sasaran RS-2

SHAH ALAM, 11 OGOS: Rancangan Selangor Kedua (RS-2) menyediakan hala tuju jelas bagi pembangunan jangka panjang negeri, namun kejayaannya bergantung kepada kestabilan politik, dasar yang konsisten, halangan peraturan yang rendah serta pentadbiran awam yang cekap.

Pengasas dan Pengarah Williams Business Consultancy Sdn Bhd Prof Geoffrey Williams berkata asas-asas tersebut penting bagi mengekalkan keyakinan pelabur, khususnya dalam keadaan ketidaktentuan ekonomi global yang semakin meningkat.

Beliau berkata sasaran Selangor untuk mencapai ekonomi bernilai RM600 bilion menjelang 2030 boleh dicapai, namun ia mencabar kerana negeri itu perlu mengekalkan pertumbuhan ekonomi hampir tujuh peratus setahun dalam tempoh empat tahun akan datang.

“Cabaran utama ialah persaingan daripada negeri-negeri lain, khususnya Zon Ekonomi Khas Johor-Singapura (JS-SEZ), pertumbuhan ekonomi keseluruhan di peringkat nasional dan global serta paling utama ketidakstabilan politik.

“Justeru, mengekalkan persekitaran politik yang stabil dan dasar yang konsisten amat penting dalam menarik serta mengekalkan pelabur,” katanya kepada Media Selangor.

Williams berkata walaupun RS-2 merupakan pelan yang komprehensif, ia masih belum menunjukkan perubahan besar ke arah meningkatkan daya saing dan kemudahan menjalankan perniagaan.

“Pelan baharu ini mengikut struktur yang agak standard, dengan lima sektor sasaran dan 13 inisiatif strategik. Walaupun ia menarik, pelan ini belum menunjukkan perubahan ke arah inovasi, persaingan yang lebih tinggi, ketangkasan, kecekapan kawal selia atau kemudahan menjalankan perniagaan,” katanya.

Ketika membentangkan RS-2 di Dewan Negeri Selangor pada 7 Ogos, Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari berkata sasaran ekonomi bernilai RM600 bilion menjelang 2030 itu dipacu lima sektor pertumbuhan tinggi iaitu elektrik dan elektronik, aeroangkasa, automotif, ekonomi digital serta ekonomi kreatif.

Usaha berkenaan juga akan disokong menerusi 13 inisiatif strategik bagi memacu pertumbuhan ekonomi mampan, memperkukuh pelaburan domestik dan mewujudkan lebih banyak peluang pekerjaan.

Beliau turut berkata Kerajaan Negeri akan mempelbagaikan sumber hasil menerusi pembiayaan inovatif, penglibatan lebih besar syarikat berkaitan kerajaan (GLC) dan sektor swasta, selain menambah baik tadbir urus entiti milik Kerajaan Negeri.

Dokumen ringkasan RS-2 menyatakan sumber hasil baharu bagi memperkukuh daya tahan fiskal Selangor termasuk dividen GLC, kadar cukai atau caj khas bagi industri dan aktiviti terpilih, serta pulangan lebih tinggi daripada aset serta hartanah milik kerajaan negeri.

Sementara itu, Williams berkata dengan pelabur berpeluang mendapatkan insentif jangka panjang yang menarik menerusi inisiatif seperti JS-SEZ, Selangor perlu memperkukuh tawaran nilai negeri bagi memastikan daya saingnya terus kekal.

Mengulas prospek fiskal negeri, beliau berkata, perkembangan ekonomi seharusnya meningkatkan hasil negeri secara semula jadi. Bagaimanapun, Williams mempersoalkan sama ada RS-2 memberikan penjelasan mencukupi mengenai bagaimana komitmen perbelanjaan tambahan akan dibiayai.

Williams berkata walaupun usaha mempelbagaikan hasil negeri merupakan matlamat yang positif, sebarang langkah baharu perlu dielakkan daripada menambah beban kepada perniagaan dan rakyat.

Beliau turut menyambut baik agenda RS-2 “tiada daerah yang akan tercicir”, namun mencadangkan pelaksanaannya tidak hanya tertumpu kepada pembangunan ekonomi, sebaliknya turut merangkumi tambah baik infrastruktur sosial.

“Tema ini baik, tetapi ia perlu memberi tumpuan kepada infrastruktur sosial selain ekonomi. Penambahbaikan perumahan dan infrastruktur sosial, di samping memodenkan beberapa daerah yang kelihatan dan terasa agak lama, akan memberi manfaat kerana ia dapat membantu mengembangkan perusahaan kecil dan sederhana (PKS) serta menarik pelaburan swasta,” katanya.

Dalam pembentangan RS-2, Amirudin memberi jaminan “tiada daerah yang akan tercicir” bagi memastikan pembangunan seimbang di seluruh negeri, selaras pendekatan “tiada siapa yang akan tercicir” yang diperkenalkan pada 2018 bagi mengurangkan jurang pendapatan antara individu dan isi rumah.

Rancangan berkenaan digariskan bawah Misi Kedua: Pembangunan Seimbang dan Peluang Saksama Merentasi Daerah yang turut menekankan perkembangan ekonomi di utara serta selatan negeri sehingga 2030.

Kategoriselangor

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.