MB galak lebih banyak acara tempatan, perkasa ekonomi dan pelancongan Selangor

8 Ogos 2026, 4:29 AM
MB galak lebih banyak acara tempatan, perkasa ekonomi dan pelancongan Selangor
MB galak lebih banyak acara tempatan, perkasa ekonomi dan pelancongan Selangor
MB galak lebih banyak acara tempatan, perkasa ekonomi dan pelancongan Selangor

AMPANG JAYA, 8 OGOS: Lebih banyak acara berteraskan keunikan setempat perlu dianjurkan bagi mempromosikan produk dan tarikan tempatan, sekali gus merancakkan ekonomi setempat.

Dato' Menteri Besar Dato' Seri Amirudin Shari berkata penganjuran acara itu mampu memperkenalkan kelebihan sesuatu kawasan kepada orang ramai serta menarik lebih ramai pengunjung.

"Orang mahu melihat kandungan tempatan yang istimewa. Masing-masing sedang mencipta kandungan tempatan dan saya berharap kita boleh perbanyakkan lagi tahun depan, termasuk di peringkat pihak berkuasa tempatan (PBT) atau kawasan masing-masing.

"Tidak semestinya kopi, tetapi perlu kenal pasti kelebihan yang ada di tempat masing-masing," katanya ketika ditemui selepas merasmikan Pesta Kopi Melawati 2.0, di sini, hari ini.

Amirudin berkata acara tempatan seperti Pesta Kopi Melawati juga mampu mengetengahkan produk serta tarikan yang mungkin kurang diketahui masyarakat.

Menurutnya, Taman Melawati misalnya bukan sekadar kawasan kediaman dan tempat bekerja, malah mempunyai pelbagai tarikan alam berhampiran termasuk dalam jajaran Gombak-Hulu Langat Geopark.

"Kita memerlukan acara tempatan seperti ini untuk memperkenalkan produk dan juga kelebihan tempatan.

"Orang ingat Taman Melawati ini tempat kerja, tetapi tidak jauh dari sini ada macam-macam tempat menarik termasuk dalam Gombak-Hulu Langat Geopark," ujarnya.

Dalam pada itu, Amirudin berkata perkembangan budaya minum kopi yang kini menjadi sebahagian gaya hidup masyarakat turut membuka peluang serta rangkaian ekonomi baharu.

"Dulu orang kata ‘jom ngeteh’, tetapi sekarang kalau kita lihat di seluruh Malaysia, kopi bukan sekadar minuman atau untuk mengelakkan mengantuk, sebaliknya sudah menjadi satu gaya hidup.

"Gaya hidup ini hadir dalam pelbagai bentuk dan mencipta peluang serta rangkaian ekonomi baharu, malah sekarang kita juga ada pesta kopi," katanya.

Terdahulu, Pesta Kopi Melawati 2.0 menyasarkan kehadiran seramai 5,000 pengunjung sepanjang dua hari penganjurannya di Melawati Square, Taman Melawati bermula hari ini.

Program yang berlangsung hingga esok itu mengetengahkan industri kopi tempatan, selain merancakkan ekonomi setempat menerusi penyertaan usahawan pelbagai produk serta mempromosikan Gombak-Hulu Langat Geopark sebagai destinasi pelancongan dan rekreasi.

Kategorinasional

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.