Budaya minum kopi buka peluang usahawan muda bina jenama, jana pendapatan

12 Ogos 2026, 3:00 AM
Budaya minum kopi buka peluang usahawan muda bina jenama, jana pendapatan
Budaya minum kopi buka peluang usahawan muda bina jenama, jana pendapatan
Budaya minum kopi buka peluang usahawan muda bina jenama, jana pendapatan
Budaya minum kopi buka peluang usahawan muda bina jenama, jana pendapatan

HULU KELANG, 12 OGOS: Budaya menikmati kopi yang semakin berkembang kini bukan sekadar menjadi gaya hidup, malah membuka peluang kepada usahawan muda membina jenama, menjana pendapatan dan memperluas pasaran.

Peluang itu dimanfaatkan peniaga yang menyertai Pesta Kopi Melawati 2.0 di Melawati Square, Taman Melawati untuk memperkenalkan produk dan mendekati lebih ramai pelanggan.

Peniaga Mikara Kohi Kopi Nur Amirah Syakirah Zaidi, 29, berkata sambutan menggalakkan pada penganjuran pertama tahun lalu mendorongnya kembali menyertai pesta berkenaan buat kali kedua.

Menurut usahawan sambilan itu, acara seumpama itu memberi ruang kepada peniaga kecil yang belum mempunyai premis tetap untuk mengembangkan perniagaan.

"Bagi saya, penganjuran ini sangat bermutu dan bagus untuk vendor kopi seperti kami yang masih kecil dan baru mahu mengembangkan perniagaan.

Nur Amirah Syakirah Zaidi, 29, bercakap kepada Media Selangor ketika Pesta Kopi Melawati 2.0 di Taman Melawati, Ampang Jaya pada 8 Ogos 2026. Foto FIKRI YUSOF/MEDIA SELANGOR

"Apabila acara ini dianjurkan kali kedua, ia memberi peluang kepada kami untuk mengembangkan lagi jenama. Saya berharap program seperti ini dapat diteruskan setiap tahun," katanya ketika ditemui pada Pesta Kopi Melawati 2.0, baru-baru ini.

Berdasarkan sambutan diterima, Nur Amirah menyasarkan jualan sekitar RM2,000 sepanjang dua hari penganjuran.

Sementara itu, usahawan Jazz Rick Cafe Zul Fahmi Zuhairi, 25, menyifatkan pesta berkenaan sebagai inisiatif positif dalam menyokong perkembangan perniagaan kecil dan tempatan.

"Program seperti ini sangat baik kerana menyokong perniagaan tempatan dan usahawan kecil yang ada di sini.

"Budaya minum kopi juga kini menjadi sebahagian daripada gaya hidup. Minum kopi pada waktu pagi dan melakukan aktiviti seperti berlari menjadikan hujung minggu lebih menarik.

"Kami menyasarkan jualan antara 100 hingga 200 cawan sepanjang dua hari acara berlangsung," katanya.

Kopi bukan lagi sekadar penghilang mengantuk

Pengusaha Niki Haru, Muhammad Adam Fitri Mohd Aizam, 22, antara usahawan muda yang menyertai Pesta Kopi Melawati 2.0 di Taman Melawati, Ampang Jaya pada 8 Ogos 2026. Foto FIKRI YUSOF/MEDIA SELANGOR

Bagi pengusaha Niki Haru, Muhammad Adam Fitri Mohd Aizam, 22, sambutan masyarakat setempat dan penduduk kawasan sekitar memberi keyakinan bahawa sasaran 5,000 pengunjung bagi penganjuran kali ini mampu dicapai.

Pelajar yang turut menjalankan perniagaan kopi itu berkata kedudukan Taman Melawati yang berhampiran Ampang, Wangsa Maju, Setapak dan Keramat berpotensi menarik kehadiran lebih ramai pengunjung.

"Saya rasa sasaran itu boleh dicapai kerana komuniti di Melawati sangat besar, ditambah penduduk dari kawasan sekitar.

"Kami juga gembira kerana ini peluang baharu untuk menyertai acara kopi di Taman Melawati serta melihat ramai peniaga lain berkumpul dan berniaga bersama," katanya.

Adam berkata minat terhadap kopi dalam kalangan generasi muda turut berkembang seiring dengan kepelbagaian pilihan minuman yang ditawarkan.

"Generasi sebaya saya kebanyakannya meminati kopi kerana terdapat pelbagai rasa dan pilihan, sama ada kopi bersusu, tanpa susu atau dengan perisa lain.

"Jadi, kopi sekarang bukan sekadar untuk menahan mengantuk, tetapi sudah menjadi sebahagian daripada gaya hidup," katanya.

Pengusaha Silent Brew Coffee, Rashidah Mohd Yusoff, ketika menyertai Pesta Kopi Melawati 2.0 di Taman Melawati, Ampang Jaya pada 8 Ogos 2026. Foto FIKRI YUSOF/MEDIA SELANGOR

Pesta kopi jadi medan bina jaringan usahawan

Turut berkongsi pandangan, pengusaha Silent Brew Coffee Rashidah Mohd Yusoff, 50, berkata pesta berkenaan memberi peluang kepada peniaga kecil mendekati pelanggan baharu di luar premis perniagaan masing-masing.

Beliau yang membantu suaminya mengusahakan kedai kopi di Desa Setapak memaklumkan penyertaan kali kedua itu turut membantu memperkenalkan jenama mereka secara meluas memandangkan sebelum ini banyak bergantung kepada promosi menerusi media sosial.

"Ini satu peluang yang amat bagus untuk kami sebagai peniaga kecil meluaskan lagi jenama Silent Brew. Dengan acara seperti ini, kami boleh bergerak dari satu lokasi ke lokasi lain dan tidak hanya berniaga di kiosk.

"Di sini juga kami dapat mengenali peniaga kopi lain, bertukar pandangan serta membina jaringan dan persahabatan," katanya.

Menurut Rashidah, sambutan pengunjung pada edisi kali ini juga memberangsangkan dan beliau yakin jumlah kehadiran mampu meningkat berbanding tahun lalu susulan promosi lebih meluas.

Pesta Kopi Melawati 2.0 berlangsung selama dua hari bermula semalam dan dirasmikan Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari.

Program itu mengetengahkan industri kopi tempatan, selain menjadi platform kepada usahawan memperkenalkan produk, memperluas pasaran dan mengembangkan perniagaan.

Kategoriselangor

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.