RS-2 bernilai RM33.31 bilion jadi pemangkin ekonomi Selangor

7 Ogos 2026, 11:57 AM
RS-2 bernilai RM33.31 bilion jadi pemangkin ekonomi Selangor

SHAH ALAM, 7 OGOS: Nilai keseluruhan RM33.31 bilion yang diperlukan bagi melaksanakan Rancangan Selangor Kedua (RS-2) akan dibelanjakan secara saksama tanpa hanya bergantung kepada peruntukan Kerajaan Negeri.

Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari berkata pelaksanaan rancangan itu turut membabitkan hasil anak syarikat Kerajaan Negeri, pelaburan sektor swasta serta kerjasama pelbagai pemegang taruh.

“Nilai RM33.31 bilion ini bukan hanya wang Kerajaan Negeri. Ia juga melibatkan hasil anak-anak syarikat Kerajaan Negeri, pihak swasta dan pemegang taruh lain.

“Saya percaya nilai perbelanjaan RM33.31 bilion yang diperlukan ini akan menjadi pemangkin kepada kejayaan ekonomi negeri Selangor pada masa depan,” katanya pada sidang media selepas membentangkan RS-2 pada Sidang Dewan Negeri (DNS), hari ini.

Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari ketika sesi pembentangan Rancangan Selangor Kedua (RS2) mesyuarat kedua persidangan penggal keempat Dewan Negeri Selangor 2026 di Dewan Negeri Selangor pada 7 Ogos 2026. Foto MOHD KHAIRUL HELMY MOHD DIN/MEDIASELANGOR

Amirudin menambah seluruh dokumen RS-2 akan dibahaskan pada Isnin depan dalam persidangan DNS membabitkan penelitian dan pandangan daripada semua Ahli Dewan Negeri (ADN).

“Kerajaan Negeri menjangkakan ADN akan mengemukakan pelbagai cadangan balas serta pandangan terhadap perancangan RS-2 bagi tempoh lima tahun akan datang,” ujarnya lagi.

Dalam perkembangan berkaitan, Amirudin memaklumkan Kerajaan Negeri akan menyemak semula projek mitigasi banjir sedia ada bagi memastikan Projek Infrastruktur Banjir menerusi RS-2 dijalankan secara komprehensif.

“Kerajaan Negeri akan menyemak semula dan menyelenggara memandangkan kerajaan Persekutuan juga akan terlibat dengan projek tebatan banjir di sungai dan pesisir pantai.

“Kerajaan Negeri juga ada melaksanakan projek tebatan di sungai dan pesisir pantai. Dalam masa sama, kawasan di pentadbiran pihak berkuasa tempatan juga memberikan impak kepada keadaan banjir, jadi pentadbiran negeri akan semak,” katanya lagi.

RS-2 yang merangkumi rancangan hala tuju pembangunan Selangor hingga 2030 melibatkan enam misi utama yang membabitkan 25 bidang bagi menggerakkan 98 inisiatif.

Maklumat berkaitan RS-2 boleh dimuat turun melalui pautan ini atau ini.

Kategorinasional

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.