Politik identiti mesti membawa kepada kemajuan, kata MB Selangor 

7 Ogos 2026, 1:00 PM
Politik identiti mesti membawa kepada kemajuan, kata MB Selangor 
Politik identiti mesti membawa kepada kemajuan, kata MB Selangor 

SHAH ALAM, 7 OGOS: Politik identiti tidak harus berlegar pada naratif ketakutan sebaliknya harus digembleng untuk membina kekuatan rakyat dan negara demi masa depan, kata Dato’ Menteri Besar Selangor Dato’ Seri Amirudin Shari. 

Jelasnya, politik di Malaysia selama ini terbelenggu oleh imaginasi yang sempit, antaranya kerana politik identiti yang selalu mencanangkan ketakutan akan kehilangan kuasa dan hak, serta ketakutan terhadap orang lain. 

“Masalah terbesar politik identiti bukan kerana ia terlalu banyak bercakap tentang bangsa atau agama. Masalahnya ialah ia terlalu sedikit bercakap tentang masa depan,” katanya menutup pembentangan Rancangan Selangor Kedua (RS-2) di Dewan Negeri Selangor, hari ini. 

Beliau memberi contoh bagaimana jarangnya politik identiti menjadi asas wacana yang mendalam untuk menjadikan Malaysia peneraju kecerdasan buatan atau AI. 

  

Menurut Amirudin, beliau bukan menafikan kepentingan bangsa dan agama tetapi menegaskan tugas kerajaan bukan hanya mempertahankan identiti. 

“Tugas kerajaan ialah menterjemahkan identiti kepada kemajuan, kepada ilmu, kepada inovasi, kepada produktiviti, kepada tadbir urus yang bersih, kepada peluang yang lebih luas untuk rakyat,” katanya. 

Amirudin juga percaya rakyat Selangor sudah bersedia untuk meninggalkan politik yang mencari musuh dan membangkitkan kemarahan, sebaliknya merangkul politik pembangunan yang membangun institusi serta berani melakukan perubahan. 

Sambil mengingatkan bahawa kerajaan tidak dipilih untuk mengurus kemarahan rakyat tetapi sebaliknya untuk mengurus harapan mereka, beliau menegaskan pentadbirannya mewakili generasi yang memilih untuk membina masa depan. 

Amirudin menyifatkan RS-2 yang dibentang sebagai lanjutan kepada pelan awal sejak tahun 2021 adalah ikrar Kerajaan Negeri kepada setiap seorang rakyat Selangor. 

RS-2 berhasrat antara lain menjadikan Selangor negeri pertama di Malaysia dengan ekonomi bernilai RM500 bilion, menawarkan peluang pekerjaan bergaji tinggi kepada rakyat serta merapatkan jurang ekonomi antara semua sembilan daerahnya. 

Kategoriselangor

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.