SHAH ALAM, 1 OKT: Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ) komited untuk melaksanakan agenda pembaharuan melalui Reformasi Sistem Penyampaian Tadbir Urus Negeri Selangor (RSTU) yang diperkenalkan Kerajaan Negeri.
Datuk Bandarnya, Mohamad Zahri Samingon berkata pelaksanaan RSTU menjadi pemacu utama dalam memastikan sistem penyampaian perkhidmatan awam lebih cekap, telus dan berintegriti.
“Lapan komponen utama iaitu Tadbir Urus Integriti, Reformasi Penyampaian, Pemecahan Budaya Silo, Reformasi Aduan, Modal Insan Berdaya, Pemerkasaan Akar Umbi, Pengukuhan Pemantauan Program dan Penilaian Berdasarkan Hasil yang memastikan perkhidmatan lebih cekap.
“Ia turut menekankan keperluan menjadikan prinsip islah iaitu usaha membaiki dan menambah baik sistem sedia ada sebagai asas dalam perkhidmatan kerajaan demi memperkukuh keyakinan rakyat,” katanya menerusi Perutusan Datuk Bandar sempena Mesyuarat Penuh MBPJ, semalam.
Tambah beliau, pendekatan ini akan memastikan MBPJ terus kekal relevan dalam memperkasakan sistem tadbir urus seiring dengan prinsip tata kelola yang baik, ketelusan serta integriti.
Pada 4 Ogos lalu, Dato’ Menteri Besar memperkenalkan Kerangka Reformasi Sistem Penyampaian dan Tadbir Urus (RSTU) Negeri Selangor yang menekankan lapan komponen utama bagi meningkatkan kecekapan, kepantasan dan keberkesanan perkhidmatan awam.
Dato’ Seri Amirudin Shari berkata usaha tersebut digerakkan melalui langkah strategik yang menyeluruh merangkumi penambahbaikan sistem, pemantapan struktur dan pemerkasaan peranan di semua peringkat.