Selangor sasar kurang 35 peratus pelepasan Gas Rumah Hijau menjelang 2035

8 Ogos 2026, 5:00 AM
Selangor sasar kurang 35 peratus pelepasan Gas Rumah Hijau menjelang 2035
Selangor sasar kurang 35 peratus pelepasan Gas Rumah Hijau menjelang 2035

SHAH ALAM, 8 OGOS: Selangor menyasarkan pengurangan pelepasan Gas Rumah Hijau (GHG) sebanyak 35 peratus menjelang 2035 menerusi Rancangan Selangor Kedua (RS-2) seiring keperluan global terhadap piawaian alam sekitar yang tinggi.

Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari berkata sasaran utama mencerminkan komitmen berterusan Selangor dalam memperkukuh agenda kelestarian alam sekitar dan meningkatkan ketahanan negeri terhadap impak perubahan iklim.

“Selangor akan mengurangkan pelepasan GHG sebanyak 35 peratus menjelang 2035 berbanding garis dasar 2005.

“Komitmen Selangor kepada kelestarian alam dan ketahanan terhadap perubahan iklim bukan sekadar kewajipan moral, tetapi keperluan strategik dalam dunia yang semakin menuntut piawaian alam sekitar yang tinggi,” katanya ketika membentangkan Usul RS-2 di Dewan Negeri Selangor (DNS) semalam.

Maklumat berkaitan RS-2 boleh dimuat turun melalui pautan ini atau ini.

Dato' Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari pada sidang media selepas RS-2 di sidang Dewan Negeri Selangor (DNS). Foto KHAIRUL HELMY /MEDIA SELANGOR

Katanya, Selangor perlu melakukan persediaan komprehensif bagi memastikan ekonomi dan kesejahteraan negeri terus kekal tahan uji daripada sebarang ancaman terutama perubahan iklim.

“Kajian Swiss Re Institute dan laporan yang dikemukakan oleh World Economic Forum (WEF), menjelang tahun 2050, ekonomi dunia berpotensi kehilangan 18 peratus daripada GDP keseluruhan akibat kesan perubahan iklim.

“Ekonomi negara-negara di Asia mempunyai risiko tertinggi kerana kekurangan persediaan menghadapi kesan perubahan iklim. Sebagai contoh, China berisiko hilang 24 peratus nilai GDP berbanding Amerika Syarikat pada nilai 10 peratus,” katanya.

RS-2 menerusi Misi Lima: Negeri Lestari, Berdaya Tahan dan Strategik menggariskan 14 inisiatif bagi memperkukuh pengurusan alam sekitar dan daya tahan iklim dalam melindungi ekosistem serta memastikan kemakmuran jangka panjang untuk rakyat.

Usaha ini difokuskan kepada lima bidang keutamaan utama, iaitu ketahanan iklim dan pengurusan bencana, pemeliharaan biodiversiti, penerapan teknologi hijau dan bandar rendah karbon, pengurusan sisa menerusi ekonomi kitaran, serta pengukuhan keterjaminan air.

Misi lima RS-2 akan memacu pengurusan bersepadu sumber asli, memperluas penggunaan tenaga boleh baharu dan mengukuhkan sistem ekonomi kitaran bagi meminimumkan sisa dan pencemaran.

Kategoriselangor

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.