Pakar: Nepal berhak tuntut pampasan iklim susulan banjir dahsyat

4 Sep 2026, 8:06 AM
Pakar: Nepal berhak tuntut pampasan iklim susulan banjir dahsyat
Pakar: Nepal berhak tuntut pampasan iklim susulan banjir dahsyat
Pakar: Nepal berhak tuntut pampasan iklim susulan banjir dahsyat
Pakar: Nepal berhak tuntut pampasan iklim susulan banjir dahsyat
Pakar: Nepal berhak tuntut pampasan iklim susulan banjir dahsyat

KUALA LUMPUR, 4 SEPTEMBER: Nepal berhak memperjuangkan tuntutan pampasan iklim susulan tragedi banjir dahsyat yang melanda negara itu pada 26 Ogos lalu, menurut pakar kesihatan awam.

Pensyarah Jabatan Perubatan Kesihatan Awam, Fakulti Perubatan Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Prof Dr Rozita Hod berkata tuntutan itu selaras dengan prinsip keadilan dan kesaksamaan iklim memandangkan negara rentan seperti Nepal menanggung kesan perubahan iklim yang tidak seimbang.

Menurut beliau, negara maju dan kuasa ekonomi utama dunia mempunyai tanggungjawab lebih besar memandangkan sumbangan mereka terhadap pelepasan karbon global.

“Sebenarnya daripada segi etika, keadilan dan kesaksamaan iklim ini wujud. Siapa yang menyumbangkan karbon dioksida paling tinggi di dunia?

“Kalau kita tengok data dunia, Amerika Syarikat, China dan negara-negara Eropah paling tinggi mengeluarkan karbon dioksida kerana mereka adalah negara maju,” katanya kepada pemberita.

Prof Dr Rozita Hod menyampaikan Syarahan Perdana Profesor bertajuk Perubahan Iklim dan Kesan ke Atas Kesihatan Manusia: Penularan Penyakit Berjangkit dan Tidak Berjangkit di Auditorium Hospital Canselor Tuanku Muhriz, Cheras, pada 4 September 2026. Foto MOHD KHAIRUL HELMY MOHD DIN/MEDIASELANGOR

Terdahulu, beliau menyampaikan Syarahan Perdana bertajuk Perubahan Iklim dan Kesan Ke Atas Kesihatan Manusia: Penularan Penyakit Berjangkit dan Tidak Berjangkit di Auditorium Hospital Canselor Tuanku Muhriz di sini, hari ini.

Dr Rozita berkata ruang untuk mendapatkan pampasan atau ganti rugi di peringkat antarabangsa boleh diteliti berdasarkan instrumen undang-undang serta bidang kuasa yang terpakai kepada negara terbabit.

Menurutnya, negara lain termasuk Malaysia juga boleh menyokong pendirian Nepal dan menggesa negara maju mengambil tanggungjawab lebih besar dalam menangani kerugian akibat perubahan iklim.

“Negara-negara lain juga perlu bersatu untuk desak negara maju ini membayar pampasan. Di pihak Malaysia, kita meratifikasi Panel Antara Kerajaan Mengenai Perubahan Iklim (IPCC) dan ada wakil tetap ke IPCC,” katanya.

Untuk rekod, IPCC merupakan badan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) yang menilai sains berkaitan perubahan iklim dan bukannya perjanjian antarabangsa yang perlu diratifikasi.

Malaysia pula merupakan negara pihak kepada Konvensyen Rangka Kerja PBB mengenai Perubahan Iklim (UNFCCC) selepas meratifikasinya pada 1994, selain turut meratifikasi Perjanjian Paris pada 2016.

Di peringkat antarabangsa, Dana Menangani Kerugian dan Kerosakan (Fund for Responding to Loss and Damage) turut diwujudkan di bawah kerangka UNFCCC dan Perjanjian Paris bagi membantu negara membangun yang sangat terdedah kepada kesan buruk perubahan iklim menangani kerugian dan kerosakan akibat perubahan iklim.

Seorang lelaki merakam gambar di kawasan yang musnah berhampiran Sungai Trishuli susulan banjir kilat dan tanah runtuh yang meragut nyawa di Devighat, daerah Nuwakot, Nepal, pada 4 September 2026. — Foto REUTERS

Media antarabangsa pada Rabu melaporkan Menteri Luar Nepal Shisir Khanal menggesa sokongan antarabangsa kepada negaranya disalurkan dalam bentuk pampasan iklim dan bukan sekadar bantuan kebajikan.

Beliau berkata Nepal menanggung kesan perubahan iklim secara tidak seimbang walaupun hanya menyumbang sebahagian kecil daripada pelepasan gas rumah hijau global.

Menurut Khanal, keseluruhan jejak karbon dan pelepasan gas rumah hijau Nepal adalah kurang daripada 0.1 peratus daripada jumlah global.

Ketika ini, angka kematian akibat banjir kilat dan tanah runtuh yang melanda kawasan sempadan Nepal-China meningkat kepada 1,225 orang, manakala 4,757 lagi dilaporkan masih hilang, termasuk 541 mangsa di China.

Daripada keseluruhan angka korban itu, Nepal merekodkan 1,204 kematian, manakala 21 lagi disahkan di China setakat semalam.

Kategorinasional

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.